Lemas atau dibunuh? Kisah Tangmo buka episod baharu

KISAH kematian pelakon cantik Thailand, Nida Tangmo Patcharaveerapong, yang lemas di dalam Sungai Chao Phraya nampaknya membuka episod baru apabila pihak polis menemui luka besar pada tubuh badan mangsa.

Jika sebelum dunia seni negara Gajah Putih berkenaan bersedih apabila dia meninggal selepas terjatuh daripada bot, kini kematiannya mula menimbulkan syak wasangka apabila lima individu ditahan.

Pihak polis menerusi Bahagian Forensik Hospital Unum, Naphat Natthasumon mendedahkan yang mereka masih belum mengenal pasti sama ada kecederaan tersebut berpunca daripada kipas bot atau sebaliknya.

Namun bedah siasat yang dijalankan menunjukkan Tangmo mati akibat lemas memandangkan terdapat lumpur pada paru-parunya.

Sebaik sahaja siasatan dilakukan kepada lima individu yang berada di dalam bot berkenaan, pihak polis menjumpai kesan calar dan lebam pada bahagian bahu salah seorang daripada mereka.

Kesan tersebut dipercayai daripada hentakan objek keras dan bukan kuku dan pihak polis percaya ia sudah berlaku lima hingga ke tujuh hari yang lalu.

Menurut laporan The Bangkok Post, polis memerlukan beberapa hari lagu untuk menegaskan dan mencari bukti baharu termasuklah kesan aie kencing pada pakaian mangsa.

Namun beberapa kekangan timbul apabila kelima-lima mereka tidak boleh disasat tanpa persetujuan sendiri memandangkan mereka diklasifikasikan sebagai saksi dan bukan tertuduh.

Terdahulu, berita mengenai kematian Tangmo menjadi topik perbualan di seluruh dunia apabila dia terjatuh dari bot laju yang mereka naiki.

Ibunya, Panida Sirayutthayothin meluahkan rasa sangsi dan tidak percaya bahawa kematian anak kesayangannya itu akibat terjatuh secara tidak sengaja dari bot laju seperti yang diwar-warkan.

Tangmo bersama lima rakan termasuk pengurusnya dipercayai telah menaiki bot tersebut untuk menjamu selera.

Dia juga mendakwa kemungkinan ada berlakunya pertengkaran antara anak perempuannya bersama rakannya yang berada di dalam bot berkenaan sehingga membuatkan ada di antara mereka tidak senang dengan kehadiran Tangmo.

Mayat Tangmo, 37, ditemui pada Sabtu selepas tiga hari dilaporkan hilang. – SB