Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Pengundi matang menilai calon terbaik-Dr. Ronald -

Pengundi matang menilai calon terbaik-Dr. Ronald

PENGUNDI Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak akan terpengaruh dengan taktik UMNO yang memainkan sentimen lompat parti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Mersing.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, ini kerana pengundi sudah matang malah akan menilai perkhidmatan penyandang kerusi DUN tersebut, Alwiyah Talib sebelum ini.

Jelasnya, Alwiyah yang merupakan calon Perikatan Nasional (PN) sudah membuktikan khidmatnya selama empat tahun menjadi wakil rakyat di situ.

“Kita tidak boleh hentikan mereka (guna kempen lompat parti) tetapi saya yakin pengundi di sini matang boleh bezakan calon terbaik. Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau sudah buktikan peranan sebagai wakil rakyat selama empat tahun di sini.

“Kita tidak boleh hentikan mana-mana pihak yang cuba untuk lemahkan calon PN, tetapi saya yakin pengundi DUN Endau boleh menilai wakil terbaik untuk menjadi wakil rakyat mereka,” katanya.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program Jelajah Dialog Industri Agromakanan Bersama Komuniti Agromakanan Negeri Johor di Kompleks Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Endau, hari ini.

Ronald berkata, kesemua 56 calon ditampilkan PN terdiri daripada pelbagai latar belakang, kumpulan umur dan mempunyai pengalaman.

“Kita sudah tawarkan yang terbaik daripada segi calon termasuklah latar belakangnya dan komitmen mereka terhadap penduduk. Gabungan parti-parti PN juga telah bekerja keras untuk pastikan calon kita menjadi calon pilihan pengundi dan akan mengundi mereka,” katanya.

Terdahulu, beliau memaklumkan 126 nelayan kelas Zon A telah diberikan lesen baharu selepas terlibat dalam proses pemutihan nelayan di Endau.

Katanya, itu merupakan pendekatan baharu kementerian bagi memastikan nelayan tulen dibela dan diberi peluang kelangsungan hidup menerusi hasil tangkapan laut secara berterusan tanpa masalah.

Jelasnya, setakat ini secara keseluruhan seramai 2,000 hingga 3,000 nelayan baharu dipilih dan ditawarkan lesen berkenaan di seluruh negara menerusi proses pemutihan itu.