SEBANYAK 23,100 kes positif Covid-19 direkodkan diseluruh negara pada Isnin menjadikan jumlah kumulatif kes positif sejak penularan awal 2020 lalu kini mencecah 3,442,736 kes.
Angka berkenaan menurun sebanyak 1,366 kes berbanding jumlah jangkitan yang direkodkan pada Ahad iaitu 24,466 sekaligus menunjukkan penurunan selama empat hari berturut-turut sejak Khamis lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes positif harian itu, sebanyak 22,802 kes membabitkan penularan tempatan manakala 298 kes lagi adalah kes import mendapat jangkitan dari luar negara.
“Kes baharu itu membabitkan 99.19 peratus atau 22,914 kes pesakit dalam kategori satu dan dua iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan dengan 0.81 peratus lagi bersamaan 186 kes adalah dalam kategori tiga hingga lima.
“Secara pecahannya, daripada jumlah peratusan itu, kategori dua paling tinggi dikesan semalam dengan 63.24 peratus (14,610 kes), ia diikuti kategori satu (8,304 kes), kategori tiga (96 kes), kategori lima (51 kes) dan kategori empat (39 kes),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, sehingga semalam, sebanyak 361 kes sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) membabitkan 133 kes disahkan COVID-19 serta 228 lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.
“Bagi pesakit dalam ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, sehingga kini terdapat sejumlah 193 kes iaitu 76 kes disahkan COVID-19 serta 117 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham memaklumkan sebanyak 30,624 kes sembuh direkodkan pada Isnin menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh kini meningkat kepada 3,116,564 kes atau 90.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Sementara itu, menurut data Kementerian Kesihatan (KKM) di portal COVIDNOW, sebanyak 75 kematian baharu direkodkan setakat tengah malam tadi, dengan 20 kes dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID). –SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.