SELEPAS mencatatkan rekod tertinggi bagi dua hari berturut-turut, jangkitan COVID-19 kembali menunjukkan penurunan semalam.
Bagaimanapun, kes baharu COVID-19 kekal melebihi paras 30,000 selepas merekodkan 30,644 jangkitan.
Jumlah berkenaan merupakan hari ketiga berturut-turut kes melebihi angka 30,000 dengan kali pertama pada hari Rabu lalu apabila penularan mencatatka 31,199 kes.
Sebagai rekod, kadar penularan tertinggi direkodkan kelmarin apabila kes harian COVID-19 mencatatkan 32,070 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kadar yang direkodkan semalam sekali gus menyaksikan jumlah keseluruhan jangkitan telah pun mencecah 3.367 juta.
Menurut beliau, majoriti kes yang dikesan semalam masih lagi membabitkan kategori 1 dan 2 iaitu melibatkan 30,488 jangkitan atau 99.49 peratus daripada keseluruhan kes.
Dr. Noor Hisham memaklumkan, hanya 156 kes atau 0.51 peratus berada dalam kategori 3 hingga 5.
“Berdasarkan pecahan kes, sebanyak 91 kes merupakan kategori 3; 39 kes dalam kategori 4 dan 26 kes berada dalam kategori 5.
“Daripada 156 kes yang dilaporkan semalam, 33 kes dikesan tidak divaksinasi atau belum lengkap vaksinasi; 77 lagi telah menerima dua dos vaksin tetapi masih belum menerima dos penggalak dan 46 kes pula telah menerima dos penggalak.
“Sebanyak 78 kes berumur 60 tahun dan ke atas; 89 jangkitan mempunyai komorbiditi dan dua kes ibu mengandung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Noor Hisham berkata, 1,677 kes telah dimasukkan ke hospital semalam meliputi 589 kes dalam kategori 3, 4 dan 5 serta 1,088 jangkitan daripada kategori 1 dan 2.
Beliau berkata, sebanyak 22,678 kes dilaporkan sembuh semalam.
“Kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) adalah sebanyak 332 kes dengan 144 disahkan COVID-19 manakala 188 lagi kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.
“Sebanyak 196 kes pula memerlukan bantuan pernafasan dengan 84 kes disahkan COVID-19 dan 112 kes disyaki, kemungkinan serta dalam siasatan,” jelas beliau. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.