UMUM mengetahui hubungan PKR dan parti MUDA pimpinan Syed Saddiq Abdul Rahman agak dingin.
Kedua-dua parti khususnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor saling berbalas kenyataan bahkan ke satu tahap ada berbaur ugutan gara-gara kegagagalan menyelesaikan isu kerusi.
Namun ini berbeza dengan sekutu asalnya dalam PH iaitu DAP yang mempunyai hubungan mesra dengan Syed Saddiq.
Malah pagi ini, orang penting DAP di Johor iaitu Liew Chin Tong diiringi Ahli Parlimen Muar itu ke pusat penamaan calon.
Keakraban MUDA dan DAP cukup teserlah apabila Syed Saddiq juga merupakan pencadang kepada pencalonan Chin Tong yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling.
Untuk rekod, DUN Perling terletak bersebelahan DUN Larkin yang menjadi kemuncak perang mulut antara PKR dan MUDA.
Chin Tong yang merupakan Pengerusi DAP tiba di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Johor Baru bersama Syed Saddiq, pada jam 9.05 pagi.
“Saya sebagai calon bersama pencadang, Saudara Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan penyokong, Jude Nesa Rajah di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bahru,” katanya dalam Facebook beliau.
Sementara itu, memetik laporan portal Berita Harian, Chin Tong yang ditanya kehadiran Syed Saddiq berkata, Presiden MUDA itu memang pencadangnya.
“Syed Saddiq pun calon Perling. Gurau je. Dia (Syed Saddiq) pencadang saya,” katanya kepada pemberita sebelum memasuki dewan itu.
Sementara itu Syed Saddiq turut menyatakan dia adalah pencadang Chin Tong.
“Saya kat sini sebagai pencadang. Saya ni orang Perling,” katanya yang merujuk kepada syarat menjadi pencadang.
MUDA membuat penampilan kali pertama pada pilihan raya dengan meletakkan tujuh calon menerusi kerjasama dengan PH.
Bagaimanapun berbeza dengan DAP dan Amanah, rundingan dengan PKR berjalan tegang dan berakhir dengan kebuntuan.
Tuduh menuduh berlaku termasuk mengenai sikap Syed Saddiq yang didakwa hanya mahu kawasan selamat.
DAP dari awal telah memberikan laluan kepada MUDA meletakkan calon di tiga kerusi, begitu juga Amanah.
MUDA bagaimanapun meletakkan juga calon di satu lagi kerusi iaitu DUN Larkin sekali gus menyaksikan pertembungan dengan calon PKR.
Amanah dalam kenyataan semalam memaklumkan akan menyokong PKR di kerusi yang bertembung.
Setakat ini, ramai menanti respons pimpinan PKR dengan perkembangn Syed Saddiq dan Chin Ting. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.