Kumpulan pemisah Ukraine minta bantuan Moscow, Kyiv gesa sidang tergempar PBB

PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan perjumpaan Majlis Keselamatan (UNSC) Rabu ini selepas Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba menggesa diadakan mesyuarat setelah puak pemisah di timur Ukraine meminta bantuan Russia untuk ‘redakan ketegangan’.

Beliau berkata, pemimpin kumpulan pemisah di Donetsk dan Luhansk telah meminta tentera Rusia memasuki wilayah mereka di utara Ukraine kononnya untuk menangkis keganasan yang dilakukan oleh tentera Ukraine, lapor BBC.

Presiden Russia, Vladimir Putin, awal minggu ini menandatangani dua dekri yang mengiktiraf ‘Republik Rakyat Lugansk (LPR)’ dan ‘Republik Rakyat Donetsk (DPR)’ di timur Ukraine sebagai negara merdeka dan berdaulat.

Bagaimanapun, dalam sesi tergempar UNSC, Duta Ukraine, Sergiy Kyslytsya, menegaskan sempadan negaranya kekal tidak boleh berubah walaupun dengan tindakan Russia.

Sebelum ini, Kuleba menerusi twitternya menyatakan bahawa Rusia telah membawa keluar kakitangan yang bekerja di sebelah malam di kilang kimia utama di Crimea.

“Ukraine telah meminta diadakan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB berikutan permohonan pentadbiran kependudukan Rusia di Donetsk dan Luhansk kepada Rusia yang meminta untuk menyediakan bantuan ketenteraan kepada mereka, di mana ia boleh mengancam keselamatan,” tulis Kuleba.

Menurut beliau, tindakan itu dilihat sebagai kemungkinan provokasi yang bakal dilakukan Rusia dan Kuleba mendakwa Rusia mempunyai pelbagai helah untuk melindungi tujuan sebenar tindakannya. 

Pada sidang sama, Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya mengkritik Russia, mengecam pengiktirafan Putin ke atas kawasan dikuasai pemberontak di Ukraine itu.

Tindakan itu disifatkan sebagai pelanggaran berat undang-undang antarabangsa dan hanya ‘dalih peperangan’ untuk memaksa Ukraine akur.

Selain itu, Duta Amerika, Linda Thomas-Greenfield, mencemuh dakwaan Putin bahawa tentera Russia akan mengambil peranan pengaman di kawasan Donetsk dan Lugansk.

“Beliau menggelar mereka penjaga keamanan, ini mengarut. Kami tahu apa sebenarnya motif mereka,” katanya.

Jurucakap Putrin, Dmitry Peskov, semalam mengesahkan permintaan puak pemisah itu, yang turut dilaporkan akhbar tempatan milik kerajaan. 

Peskov berkata, Putin menerima surat memohon bantuan daripada ketua ‘republik’ Donetsk dan Lugansk, yang beliau iktiraf awal minggu ini.

“Tindakan regim Kyiv membuktikan mereka tidak mahu mengakhiri perang di Donbas,” kata Peskov merujuk kepada surat berkenaan.

Perjanjian kerjasama yang ditandatangani Putin dengan kumpulan pemisah itu turut membuka laluan untuk tentera Russia berada di wilayah berkenaan. – SB