KKM, Futurise tubuh Makmal Kawal Selia Perkhidmatan Kesihatan Dalam Talian

0
689

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) bersama Futurise Sdn Bhd (Futurise) hari ini mengumumkan pelancaran Makmal Kawal Selia Perkhidmatan Kesihatan Dalam Talian (OHS RegLab) yang menandakan permulaan satu peristiwa penting dalam evolusi rangka kerja kawal selia untuk Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Dalam Talian (OHS) dalam negara.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan & Sokongan Teknikal), KKM, Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim berkata, pengumuman itu merupakan petanda baik untuk peserta industri OHS negara yang berusaha untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada pesakit secara dalam talian.

Katanya, OHS RegLab akan dilaksanakan dengan kerjasama strategik antara KKM dan Futurise, anak syarikat milik penuh Cyberview Sdn Bhd di bawah Kementerian Kewangan, yang mengetuai inisiatif Kawal Selia Sandbox Negara (NRS).

Beliau berkata, OHS telah mengalami pertumbuhan yang luar biasa di seluruh dunia, hasil daripada kepesatan pendigitalan dan teknologi rangkaian yang mengubah banyak sektor, termasuk penjagaan kesihatan.

Mckinsey & Company dalam satu kajian baru-baru ini meramalkan kadar pertumbuhan kumulatif tahunan (CAGR) sebanyak 17% untuk segmen tersebut di rantau Asia menjelang 2025 di samping potensi pertumbuhan yang besar di Malaysia.

“Keadaan itu menunjukkan perubahan ketara dalam tingkah laku penduduk di rantau ini dan keperluan untuk meningkatkan pelbagai saluran usaha dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan. Gabungan kos yang semakin meningkat, penuaan penduduk, isu kedekatan dan akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti juga mendorong pembuat dasar untuk memikirkan idea baharu yang boleh meningkatkan pengalaman dalam bidang penjagaan pesakit,” katanya.

Di samping itu, penularan pandemik global COVID-19 dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini juga telah memberi kesan kepada Malaysia, ia meletakkan penyedia dan institusi penjagaan kesihatan di bawah tekanan yang luar biasa dan mendedahkan keperluan bagi penggubal dasar untuk melihat dengan lebih mendalam kaedah alternatif untuk menyediakan penjagaan kesihatan.

OHS merupakan platform yang mempunyai potensi besar untuk menghadapi cabaran peningkatan kos dan akses sambil memastikan kualiti perkhidmatan tertinggi dalam penjagaan kesihatan di Malaysia.

Walau bagaimanapun, terdapat cabaran di bahagian pengawalseliaan yang dihadapi oleh pemain OHS yang beroperasi di negara ini, bagaimanapun penubuhan OHS RegLab dijangka memainkan peranan penting dalam menangani isu tersebut melalui pendekatan kerjasama antara semua pihak yang berkaitan.

“KKM menyedari mengenai perkembangan dan potensi OHS dan jelas sekali, pandemik koronavirus telah mempercepatkan inovasi dalam sistem penjagaan kesihatan dan hospital. Ia juga seterusnya meletakkan asas kepada perubahan bidang penjagaan kesihatan negara.

“Kementerian ingin terus menyaksikan inovasi dalam bidang tersebut dengan penggunaan teknologi dan penyelesaian baharu bagi memenuhi keperluan dan menangani cabaran semasa. Kami juga akan menggalak dan mengharapkan pengenalan inovasi baharu yang dapat mempercepatkan transformasi sistem penyampaian penjagaan kesihatan di Malaysia,” kata Dr Hishamshah.

Katanya, dengan penemuan-penemuan yang bakal diperoleh daripada Makmal Kawal Selia, KKM akan berusaha mengenal pasti instrumen kawal selia yang sesuai dan seterusnya melakukan penambahbaikan untuk melindungi hak pengguna OHS tanpa menghalang kemajuan inovasi.

Ketua Pegawai Eksekutif, Futurise, Rosihan Zain berkata, KKM dengan kerjasama Futurise akan memanfaatkan inisiatif Sandbox Kawal Selia Negara untuk menjalankan Makmal Kawal Selia tersebut.

“Penubuhan Makmal Kawal Selia akan menjadi platform untuk KKM dan pengawal selia lebih memahami mengenai inovatif baharu OHS dengan membenarkan syarikat OHS terpilih beroperasi dalam persekitaran sebenar dan terkawal di dalam parameter dan jangka masa tertentu di bawah pemantauan rapi pegawai KKM dan pengawal selia.

“Syarikat OHS juga akan berpeluang untuk menilai garis panduan dan memberikan maklum balas yang sesuai untuk memastikan mereka dapat menjalankan perniagaan dan operasi dalam rangka kerja yang jelas,” katanya.

Beliau berkata, industri penjagaan kesihatan sedang memasuki era inovasi digital yang menyumbang kepada peningkatan penjagaan kesihatan atas permintaan dalam negara.

Kerjasama strategik yang berterusan antara kerajaan, ahli akademik, pemain industri dan usahawan akan mempercepatkan campur tangan pengawalseliaan yang progresif bagi membolehkan perkembangan industri baharu yang berterusan.

“Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Dalam Talian sememangnya mampu menjadi penyelesaian dalam menguruskan cabaran dan isu sistem penjagaan kesihatan hari ini,” tambahnya.

Dalam mewujudkan impak positif dalam pelaksanaan inisiatif OHS, terdapat lebih 50 pemain industri OHS di negara ini, yang antaranya ialah hospital swasta, klinik dan syarikat teknologi yang dijangka menjadi sebahagian daripada OHS RegLab.

Apabila dibuka nanti, syarikat OHS atau penyedia platform yang berminat boleh memohon untuk menyertai Makmal Kawal Selia ini. Tiada paksaan untuk industri mendaftar dan menyertai makmal ini. Maklumat mengenai skop OHS, kriteria pendaftaran dan keperluan untuk beroperasi di Makmal Kawal Selia ini akan dinyatakan dalam garis panduan yang dikeluarkan.

Untuk maklumat lanjut mengenai Makmal Kawal Selia Kesihatan Dalam Talian (OHS Reglab), sila lawati https://futurise.com.my/ohs- Utusan TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here