Tular video Kapten Khalifa mendaratkan pesawat ketika ribut

RAKAMAN video detik-detik cemas pesawat komersial mendarat ketika ribut di Lapangan Terbang Heathrow, London baru-baru ini terus tular di media sosial, dengan majoriti netizen kagum dengan kecekapan Kapten Khalifa Al Thani

Detik bersejarah itu dirakam dari kokpit pesawat komersial syarikat Qatar Airways yang menunjukkan bagaimana Khalifa mengendalikan pesawat dan mendarat dengan selamat.

Berdasarkan rakaman video itu, kelihatan tangan kiri Khalifa memegang alat kawalan pendaratan yang sedang bergerak-gerak, manakala tangan kanannya memegang tombol bagi mengimbangi badan pesawat semasa ia mendarat ketika angin kencang.

Khalifa memasang kamera di kokpit pesawat tersebut bagi merakamkan detik-detik beliau mengendalikan kapal terbang berkenaan ketika mendarat di lapangan terbang itu ketika cuaca buruk.

Bekas juara Formula Satu, Damon Hill yang menyaksikan pendaratan itu turut menyatakan rasa kagumnya ekoran kejayaan Khalifa berjaya mendaratkan kapal terbang tersebut ketika angin kencang.

Lebih 200,000 orang menyaksikan pendaratan kapal terbang penumpang itu menerusi saluran YouTube yang dikendalikan oleh seorang penerbit Big Jet TV, Jerry Dywer.

Dywer berdiri di dalam sebuah van di sebuah landasan terbang di lapangan terbang tersebut untuk membuat liputan langsung detik-detik cemas pesawat mendarat dalam cuaca ribut.

Juruterbang itu turut mengucapkan terima kasih kepada Big Jet TV kerana membuat liputan pendaratan tersebut menerusi saluran YouTube.