Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Ahli perniagaan rugi lebih RM140,000 diperdaya 'Macau Scam' -

Ahli perniagaan rugi lebih RM140,000 diperdaya ‘Macau Scam’

SEORANG ahli perniagaan dari Machang, Kelantan mengalami kerugian sebanyak RM140,679, selain turut mengakibatkan kerugian pada ibunya, selepas diperdaya sindiket Macau Scam. 

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata lelaki berusia lingkungan 20-an itu telah menerima panggilan telefon melibatkan beberapa orang suspek yang menyamar sebagai pegawai Telekom Malaysia (TM) serta pegawai polis berpangkat sarjan dan inspektor pada 11 Februari lepas.

Beliau berkata, suspek mendakwa identiti mangsa digunakan untuk mendaftar talian membabitkan kes jenayah siber dan mangsa dikatakan turut terlibat dalam kes pengubahan wang haram melibatkan satu sindiket pelaburan. 

“Mangsa yang menafikan penglibatannya telah dinasihatkan untuk meminta bantuan suspek berikutnya bernama ‘ACP Datuk Mohd Fazley’ yang berjanji akan membantu mangsa, selain turut diarahkan untuk menyerahkan maklumat perbankan internet iaitu nama pengguna dan kata laluan, serta nombor kad ATM dan nombor TAC akaun bank miliknya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Shafien berkata, ahli perniagaan itu turut diminta untuk memberi maklumat akaun bank ibunya atas alasan bagi mengesahkan sama ada ibunya turut terlibat dengan kes-kes berkenaan.

Beliau berkata lelaki tersebut mendapati sebanyak 15 transaksi berjumlah RM140,679 telah dilakukan dari akaun bank miliknya serta hampir RM100,000 dari akaun bank ibunya, bagi tempoh 11 hingga 15 Februari lepas.

“Suspek mendakwa wang tersebut dipindahkan sementara ke Bank Negara Malaysia bagi tujuan siasatan dan akan dikembalikan semula sehingga menyebabkan mangsa berasa curiga apabila suspek telah menasihatkannya untuk membuat pinjaman bank,” katanya.

Menurut Shafien mangsa telah membuat laporan polis pada 15 Feb lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Saya ingin ingatkan kepada semua lapisan masyarakat supaya lebih berwaspada dengan sindiket Macau Scam yang sentiasa menukar watak antaranya menyamar sebagai pegawai dari bank, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan mahkamah,” katanya.