PRN Johor penentu ‘hidup mati’ Pakatan Harapan

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor akan menjadi gelanggang penentu kelangsungan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), selepas menunjukkan prestasi tidak memberangsangkan pada PRN Melaka dan Sarawak, sebelum ini.

Penganalisis politik berpendapat, kerjasama antara gabungan parti dalam PH tidak kukuh seperti PRU-14, namun disifatkan lebih baik pada PRN Johor, berbanding PRN sebelum ini.

Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata PH kini tidak mempunyai parti berasaskan Melayu selepas BERSATU keluar daripada pakatan itu.

“Persoalannya kini, bagaimana PH boleh menarik undi Melayu? Selain itu, berdasarkan pemerhatian saya di lapangan, jenama PH nampaknya sedikit tercalar dengan rekod pemerintahan dan kegagalan menunaikan janji pilihan raya sebelum ini.

“Terdapat pengundi yang masih ingat dengan janji PH dan akan lebih berhati-hati dengan janji PH selepas ini,” katanya, memetik laporan Berita Harian, hari ini.

Mengenai tindakan pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang saling ‘menyerang’ antara satu sama lain menjelang PRN Johor, Mohd Izani berkata, PN menggunakan kaedah kempen sama seperti dimainkan PH sebelum ini, iaitu isu rasuah dan salah laku pemimpin UMNO.

Katanya, kempen agresif PN ketika ini adalah lebih kepada serangan peribadi terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak, berkaitan kes mahkamah yang dihadapi mereka.

“Kempen ini berbentuk negatif tetapi mungkin dilihat sebagai senjata ampuh untuk mempengaruhi sentimen dan persepsi rakyat.

“Jika pengundi lebih rasional, mereka akan melihat di manakah agenda yang akan dibawa PN dan BN.

“Tidak dinafikan hal ini akan membangkitkan persaingan antara kedua-dua gabungan itu, apatah lagi Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin ialah orang Johor dan mempunyai pengalaman mentadbir negeri,” katanya.

Sementara itu, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Azmi Hassan, pula melihat kerjasama antara PKR, DAP dan AMANAH lebih kukuh pada PRN Johor, walaupun menggunakan simbol yang berbeza.

“PH di Johor berbeza dengan PH di Melaka dan Sarawak. Di Johor, mereka saling bekerjasama walaupun PKR menggunakan lambang sendiri, manakala DAP dan AMANAH menggunakan lambang PH.

“Pada saya, ini akan menjadi kelebihan kepada PH untuk memberi saingan kepada BN dan memperoleh keputusan yang lebih baik, berbanding PRN sebelumnya,” katanya.

Selain itu, beliau berpendapat, tindakan PN dan BN berbalas serangan bertujuan menarik perhatian pengundi yang terdiri daripada kumpulan yang sama iaitu kaum Melayu.

“Justeru, memang itulah strateginya iaitu menyerang satu sama lain demi menarik perhatian dan simpati pengundi,” katanya.