[VIDEO] PRN Johor: Penglibatan MUDA sekadar daya tarikan pengundi muda turun mengundi- Penganalisis

MUDA tidak akan beri impak besar kepada lanskap pilihan raya Malaysia

0
442

PENGANALISIS-penganalisis politik menyifatkan kehadiran Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) buat pertama kali di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelak tidak memberikan impak yang signifikan terhadap lanskap pilihan raya di negara ini.

Penganalisis politik Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain berkata, impak yang boleh ditonjolkan menerusi penyertaan MUDA buat kali pertama ini hanya menjurus ke arah Undi-18 semata-mata selain menyifatkan corak pilihan raya di Malaysia masih diterajui oleh pengundi dewasa.

“Impak dari segi penyertaan MUDA ini hanya menjurus kepada Undi-18 dan menjadi daya tarikan untuk golongan pengundi muda turun mengundi sahaja.

“Kita harus ingat, di Pilihan Raya kita bukan hanya memerlukan sokongan orang muda sahaja, perlu juga dari peringkat umur yang lain. Golongan usia yang lain sudah ada parti pilihan mereka sendiri untuk mengundi,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Katanya, biarpun dengan penglibatan pengundi muda yang bakal membuang undi mereka buat kali pertama di Johor, MUDA masih mengadapi situasi sukar apabila parti yang baharu ditubuhkan secara rasmi sekitar Disember tahun lalu itu kekurangan calon yang berpengalaman dari segi pentadbiran dan berpolitik untuk dipertandingkan.

“Walaupun mereka ada kelebihan untuk mendapatkan sokongan daripada golongan muda menerusi Undi-18, namun berdasarkan kajian lapangan di Johor, kami mendapati pengundi-pengundi muda di sana memerlukan pengundi muda sekurang-kurangnya berpengalaman

“Bukannya calon yang masih lagi sedang melanjutkan pelajaran. Bukan terlalu muda sampai tiada pengalaman langsung. Kita boleh lihat di PRN Melaka, calon-calon muda yang masih sedang belajar yang dipertandingkan oleh parti-parti politik, tidak mendapat sokongan yang banyak. Ini jelas, calon perlukan pengalaman sekurang-kurangnya dalam apa-apa bidang professional,” ulasnya.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr, Rusdi Omar mempersoalkan sejauh mana kelangsungan dan keyakinan parti MUDA dalam kancah politik Malaysia sekiranya terlalu bergantung kepada pengundi muda semata-mata.

Katanya, perkara itu merupakan cabaran utama buat MUDA apabila pengundi muda pada masa ini sudah mampu membuat pilihan mereka sendiri dengan menilai parti mana yang mampu membawa aspirasi mereka.

“Tiada impak yang besar pun boleh ditonjolkan menerusi penglibatan MUDA ini kerana pengundi muda tidak mewakili majoriti pengundi. Yang mewakili majoriti pengundi ini adalah golongan dewasa. Saya tidak nampak perkara itu membantu mereka 100 peratus.

“Kalau dilihat kepada parti MUDA ini, baru setahun diluluskan, dari segi karakter yang boleh menonjolkan kepimpinan hanya segelintir daripada mereka sahaja. Jadi, ini akan memberi kesan negatif kepada MUDA melainkan mereka tubuhkan kerjasama dengan parti lama. Kalau secara solo, saya lihat mereka tiada peluang untuk meneruskan kelangsungan parti,” katanya ketika dihubungi.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here