Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Covid-19: 270,000 kanak-kanak bawah 12 tahun dijangkiti antara Julai dan Disember lalu -

Covid-19: 270,000 kanak-kanak bawah 12 tahun dijangkiti antara Julai dan Disember lalu


SERAMAI 270,000 kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dijangkiti COVID-19 antara Julai dan Disember tahun lepas, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata, dalam tempoh sama, seramai 63 kanak-kanak di bawah umur 12 tahun telah meninggal dunia akibat COVID-19 manakala kajian daripada 14 hospital kerajaan di seluruh negara mendapati 174 kes sindrom keradangan berbilang sistem pada kanak-kanak (MISC) telah dikesan.

“(Daripada jumlah itu) 56 peratus atau 100 kes MISC berlaku pada kanak-kanak dalam lingkungan umur lima hingga 12 tahun dan empat peratus kematian…kanak-kanak boleh terjejas teruk (oleh COVID-19) dan kanak-kanak telah dibawa ke mana-mana.

“Prosedur operasi standard (SOP) telah dilonggarkan, orang ramai melancong, berkelah atau ke pusat beli-belah dengan membawa anak-anak mereka dan kini anak-anak kembali ke sekolah (namun), semua orang telah divaksinasi kecuali kanak-kanak,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program ‘The Nation’ terbitan Bernama TV yang disiarkan hari ini.

Dr Noor Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (CITF-C) berkata adalah penting untuk kanak-kanak diberi vaksin kerana mereka berisiko mendapat komplikasi akibat COVID-19 iaitu MISC yang menyebabkan keradangan dan komplikasi kepada pelbagai organ dan COVID-19 jangka panjang.

PICKids yang bermula pada 3 Feb menyasarkan 3.6 juta kanak-kanak berumur lima hingga 11 untuk melindungi golongan itu daripada jangkitan COVID-19.

Ia juga bertujuan memastikan risiko jangkitan di sekolah dapat dibendung sekali gus mengelakkan kluster dalam kalangan murid.

Setakat semalam, seramai 206,748 atau 5.8 peratus kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di negara ini telah menerima dos pertama vaksin COVID-19.

— BERNAMA