AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zuraida Kamaruddin tidak menerima apa-apa notis berhubung statusnya dalam parti berkenaan.
Malah, Zuraida yang baru pulang daripada lawatan kerja rasmi ke Iran menegaskan beliau masih lagi Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.
“Saya baru balik dari Iran, saya tahu saya masih menteri di sini.
“Saya tak tahu apa yang berlaku dan saya tak dapat sebarang notis rasmi daripada parti,” katanya seperti dilapor portal Free Malaysia Today.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen dan Expo Antarabangsa Industri Getah Malaysia.
Sebelum ini timbul desas-desus bahawa Ahli Parlimen Ampang itu akan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), April ini.
Tindakan Zuraida keluar parti April depan dikatakan mengambil kira jangkaan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, membentangkan rang undang-undang antilompat parti ketika itu.
7 Februari lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, jawatan MPT dan status Zuraida selaku menteri menjadi pertaruhan sekiranya dakwaan terlibat dengan PBM didapati benar.
Baca artikel berkaitan:
Zuraida dijangka keluar Bersatu April ini, sertai PBM
Didakwa terlibat PBM, Zuraida mungkin dipecat Bersatu?
Zuraida masih ahli, anggota MPT Bersatu
Zuraida juga dikatakan telah dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp MPT bersatu yang turut dianggotai Muhyiddin.
Sementara itu, Zuraida turut menyambut baik penyertaan parti baharu seperti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan PBM untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut Zuraida, ia merupakan proses demokrasi yang harus disambut baik.
“Saya sangat alu-alukan. Ia adalah langkah demokrasi, saya percaya mana-mana parti politik dalam negara ini mahu memberikan yang terbaik untuk negara.
“Selagi objektif mahu berkhidmat kepada rakyat, kita patut alukan mereka. Kalau mereka melencong daripada matlamat asal, kita tak perlu pergi pada mereka,” jelas beliau. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.