MESKIPUN menjadi bintang pertama yang tersingkir pada konsert kedua pentas Big Stage 2022, usahawan yang pernah terpalit kontroversi bersama Datuk Seri Vida ini tidak akan berhenti untuk terus menggilap kemahirannya dalam bidang nyanyian.
Iqbal Zulkefli berkata, dirinya tidak boleh berputus asa walaupun dihujani kecaman daripada pelbagai pihak yang disifatkan agak memedihkan.
“Kalau orang lain belajar perlukan masa seminggu, tapi saya memerlukan masa tiga tahun, saya akan belajar tiga tahun. Saya akan teruskan.
“Tapi, untuk ke pentas nyanyian mungkin tidak. Cuma saya akan cuba buat rakaman muzik dan belajar dengan lebih dalam lagi,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.
Tambahnya, dirinya tetap berpuas hati dengan apa yang telah dipersembahkan kepada juri dan penonton biarpun hanya berkesempatan untuk berada di pentas berkenaan selama dua minggu sahaja.
Selepas persembahannya pada malam tadi, juri tetap, Ajai hanya memberikan empat markah kepada Iqbal serta memberi komen bahawa Iqbal tiada bakat dalam bidang nyanyian dan perlu menjaga maruah diri.
Mengulas perkara itu, Iqbal menerimanya dengan hati yang terbuka dan menjadikan komen pedas itu sebagai suntikan semangat untuk meneruskan usahanya dalam industri seni.
“Saya terima komen itu, cuma saya tak akan berhenti kerana ini hanya permulaan. Saya mahu berada dalam bidang seni dengan lebih jauh, walau apa pun keburukan saya, saya perlu maafkan diri saya untuk pergi lebih jauh.
“Saya juga sedar saya menyanyi ke laut. Tapi saya perlu pujuk diri saya dan teruskan lagi belajar, jangan putus semangat,” ujarnya.
Dalam pada itu, anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini memohon maaf sekiranya kehadirannya disifatkan mengganggu industri seni negara.
“Saya minta maaf kalau kehadiran saya menyebabkan porak-poranda dan merosakkan industri, atau mencambahkan rasa benci kepada saya. Kepada yang menyokong saya, terima kasih. Cuma saya tidak akan berhenti dan mengharapkan sokongan.
“Bukan saya tidak boleh terima kecaman, tapi saya mahukan suasana di mana kita menyokong satu sama lain. Contonya, walaupun saya tak pandai menyanyi, mungkin saya telah menghiburkan hati orang atau menyuntik semangat kepada orang lain. Saya buat perkara ini bukan untuk diri saya semata-mata,” katanya.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.