Buka semula sempadan negara secara terancang-MASA

0
666

MALAYSIA dan negara lain di rantau ini perlu menyegerakan pembukaan sempadan masing-masing untuk membantu pemulihan ekonomi terutama dalam sektor perdagangan dan pelancongan tanpa meningkatkan risiko kesihatan rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Azril Mohd. Amin berkata, pembukaan semula sempadan secara terancang yang disyorkan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat memastikan aktiviti ekonomi negara terus kekal berdaya saing.

“Kerajaan perlu mencontohi pendekatan diambil New Zealand, Australia, Indonesia dan Filipina yang melaksanakan pembukaan sempadan secara berfasa dan terancang bagi merancakkan kembali sektorsektor ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Walau bagaimanapun, sebarang bentuk pelaksanaan ke arah pembukaan sempadan mesti dibuat secara teliti untuk memastikan risiko kesihatan awam terkawal.

“Protokol dan garis panduan mengenai peraturan kuarantin contohnya perlu dikuat kuasa bagi mengekang jangkitan terutama varian-varian baharu seperti Omicron,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, dalam hal itu ASEAN melalui Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang bakal berkuat kuasa 18 Mac ini mampu memainkan peranan membolehkan gelembung perjalanan pelbagai hala di rantau ini berjalan lancar dalam merancakkan aktiviti ekonomi negara.

Pembukaan semula sempadan negara juga katanya, perlu dilaksanakan secara teliti berpandukan penilaian risiko selepas diperhalusi dan dibentangkan oleh pihak berkepentingan, antaranya Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Imigresen (JIM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Langkah ini adalah penting bagi menyokong usaha Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang giat dijalankan.

“Menerusi pembukaan sempadan negara yang sistematik dan diselia rapi, sektor-sektor ekonomi, terutamanya industri pelancongan yang amat terkesan akibat pandemik mampu dirancakkan semula dan seterusnya memberi impak positif terhadap pemulihan ekonomi negara,” katanya.

Justeru katanya, MASA menyokong syor pembukaan semula sempadan negara tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Pada masa yang sama katanya, MASA menyeru agar semua pihak terus mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi SOP yang ditetapkan dari semasa ke semasa dalam menjalani kehidupan harian bagi bersama-sama membantu usaha kerajaan ke arah pemulihan negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here