SEPERTI filem aksi Hollywood ‘Snakes On A Plane’ yang mengisahkan serangan puluhan ular berbisa di dalam pesawat, insiden yang hampir sama berlaku di Malaysia.
Menerusi satu perkongsian di TikTok @edal8808, seekor ular dilihat berada di dalam pesawat yang dinaiki perakam video berkenaan.
Tulisnya di ruangan kapsyen, ekoran kejadian tersebut ini menyebabkan pesawat dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sabah itu terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Kuching, Sarawak, pada Khamis.
Ketua Pegawai Keselamatan AirAsia, Liong Tien Ling dalam kenyataan hari ini mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Liong berkata, sebaik sahaja juruterbang dimaklumkan mengenai kejadian itu, dia membuat keputusan melencongkan pesawat ke Kuching sebagai langkah berjaga-jaga bagi menangkap ular itu dan mengasap pesawat berkenaan.
“Kejadian ini sangat jarang berlaku dan boleh berlaku pada mana-mana pesawat dari semasa ke semasa.
“Kapten mengambil tindakan sewajarnya dan penerbangan akan berlepas ke Tawau secepat mungkin.
“Keselamatan dan kesejahteraan penumpang dan kru kami sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Difahamkan kakitangan darat AirAsia masih mencari ular itu dalam pesawat berkenaan di Kuching.
Video tular berdurasi 11 saat kemudian telah mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang mana rata-rata menyamakan situasi itu dengan filem Hollywood berkenaan. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.