UJIAN hidup yang berat tidak mampu untuk melunturkan semangat Syakira untuk menimba ilmu.
Walaupun bapanya terlantar sakit akibat serangan angin ahmar di rumah ditambah ibunya yang tidak dapat bekerja untuk menjaga suaminya itu menyebabkan keluarganya tiada pendapatan dan kesempitan untuk membelikan Syakira sepasang kasut sekolah, pelajar Sekolah Kebangsaan Syed Sheh itu tetap tanpa gagal menghadirkan diri ke kelas meskipun hanya berselipar.
Kisah sedih seorang pelajar yang dikenali sebagai Syakira tular selepas gurunya, Cik Puan Gojes memuat naik sebuah video berdurasi seminit 40 saat di Facebook yang menunjukkan keadaan pelajar tersebut yang memakai selipar ketika berada di sekolah.
Menurut guru terbabit, Syakira tidak mampu membeli kasut baru kerana datang dari keluarga susah ditambah pula dengan ayahnya yang terkena penyakit strok baru-baru ini dan ibunya pula tidak dapat bekerja kerana perlu menjaga suaminya.
Dalam pada itu, guru tersebut secara kebetulan sudah beberapa hari membawa sepasang kasut sekolah milik anaknya yang belum dipakai untuk dihadiahkan kepada murid yang sesuai.
“Tiga hari cikgu bawa kasut ini, rupanya-rupanya ini rezeki Syakira, jaga elok-elok kasut ini. Kasut ini anak cikgu belum pernah pakai,” katanya menerusi klip video yang dimuat naik di laman Facebooknya.
Menerusi video itu dapat dilihat kegembiraan pelajar itu selepas memakai kasut baharu yang merupakan pemberian daripada gurunya.
Kisah sedih pelajar ini telah mendapat perhatian netizen malah hantaran tersebut kini mencecah 39 ribu tanda suka dan telah dikongsi oleh lebih 5 ribu penonton. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.