Mahkamah Koroner berkuasa dengar prosiding komital

MAHKAMAH Koroner Shah Alam mempunyai bidang kuasa untuk memberi kebenaran untuk memulakan prosiding menghina terhadap bekas peguam negara Tommy Thomas berhubung kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, kata Mahkamah Rayuan.

Sehubungan itu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Suraya Othman pagi ini sebulat suara menolak rayuan oleh Thomas.

Anggota panel hakim lain ialah Abu Bakar Jais dan Hashim Hamzah, yang sebelum ini mendengar rayuan yang dikaitkan dengan kematian Adib berikutan rusuhan kuil Hindu di Subang pada akhir 2018.

Malaysiakini melaporkan pada Selasa, Thomas merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 28 Jan 2020, yang memutuskan bahawa Mahkamah Koroner mempunyai kuasa untuk memberi kebenaran kepada bapa si mati, Mohd Kassim Abdul Hamid, untuk memulakan prosiding komital terhadap peguam negara ketika itu.

Keputusan hari ini juga mempunyai kesan terhadap satu lagi kes rayuan berkaitan oleh bapa Adib, yang cuba memulakan prosiding menghina ke atas Thomas berhubung afidavit yang dikaitkan dengan punca kematian anggota bomba berusia 24 tahun itu.

Mohd Kassim, 68, pada mulanya diberi kebenaran oleh Mahkamah Koroner Shah Alam untuk memulakan prosiding komital terhadap Thomas berhubung afidavit 2019 oleh Jabatan Peguam Negara (AGC), yang mendakwa kematian Adib bukan disebabkan oleh kecederaan yang dilakukan orang.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 28 Jan 2020 turut membatalkan kebenaran untuk memulakan prosiding komital atas sebab teknikal iaitu Mohd Kassim gagal mematuhi Perintah 52 Kaedah-Kaedah Mahkamah.

Pada 17 Dis 2018 semasa dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), Adib meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami akibat rusuhan di kuil di Subang sebulan sebelum itu.

Pada Sept 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan bahawa kematian anggota bomba itu berpunca daripada perbuatan jenayah yang dilakukan oleh dua individu atau lebih. – SB