Latif Romly, Leong Mun Yee kini bergelar Datuk

0
490

DUA individu yang berjaya mengharumkan nama negara iaitu atlet para negara, Datuk Abdul Latif Romly dan atlet terjun negara serta bekas juara dunia Datuk Leong Mun Yee mendapat pengiktirafan di Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan.

Atlet kelahiran Perlis berkenaan, Latif Romly berjaya mempertahankan emas Sukan Paralimpik dalam acara lompat jauh (T20) menerima pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran ‘Datuk’.

Perkara berkenaan dikongsi Majlis Sukan Negara (MSN) di akaun Facebook rasmi mereka sebentar tadi.

“Tahniah!!! Datuk. Atlet Para Olahraga Abdul Latif Romly terima pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran ‘Datuk’,” kongsi MSN.

Latif menghadiahkan pingat emas ketiga Malaysia dalam acara lompat jauh lelaki T20 di Stadium Olimpik Tokyo, tahun lalu sekali gus mengulangi pencapaian yang diraih di temasya sama di Rio 2016.

Sementara itu, Mun Yee meraih pelbagai kejayaan di pentas antarabangsa serta mengharumkan nama negara dengan menyumbangkan 17 pingat emas, lima perak dan lima gangsa dalam penyertaan di Sukan SEA.

Malah, beliau juga berjaya memenangi satu perak dan dua gangsa di pentas Sukan Komanwel manakala meraih dua perak dan lima gangsa sepanjang penyertaan di Sukan Asia.

Mun Yee yang berasal dari Ipoh, Perak turut memenangi satu perak dan dua gangsa di Kejohanan Terjun Dunia FINA dan satu perak di Piala Dunia FINA selain membuat lima kali penampilan di pentas Sukan Olimpik bermula di Sydney 2000, Athens 2004, Beijing 2008, London 2012 dan Tokyo 2020. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here