Kolaborasi perdana Naim Daniel & Joe Flizzow

MAHU memberikan sesuatu yang baharu menerusi karya terbaru, penyanyi Naim Daniel memberanikan diri mengundang Joe Flizzow bersamanya menerusi lagu Habis Sini.

Jelasnya, kolaborasi kali ini begitu istimewa memandangkan hasrat tersebut tidak ditolak oleh penyanyi tersebut ketika hasrat tersebut dinyatakan.

“Ketika memperdengarkan lagu tersebut kepada Joe, dia tidak membantah. Ada beberapa input diberikan untuk menambah baik kekurangan agar menjadi lebih baik.

“Tidak sukar sebenarnya mahu bekerjasama dengan Joe. Dia profesional, ringkas dan banyak memberikan tunjuk ajar kepada saya.

“Paling diingati, dia minta saya tidak bertangguh kalau mahu mengeluarkan lagu,” katanya yang teruja menantikan sambutan hangat daripada peminat.

Menariknya ini merupakan kali pertama dia membawakan lagu rap dan Joe banyak memberikan tunjuk ajar semasa proses rakaman untuk menjadi lebih baik.

Naim sendiri teruja untuk bekerjasama memandangkan mahu mencuba pelbagai genre untuk menjadi penyanyi yang serba boleh.

“Saya mahu mencuba pelbagai genre muzik untuk melihat sejauh mana kemampuan saya,” kata pemenang Anugerah Juara Lagu ke-34 ini lagi.

Terdahulu, Naim pernah bekerjasama dengan Man Kidal menerus lagu Sembah dan menganggap kolaborasi tersebut berjaya berdasarkan sambutan peminat.

Single Habis Sini mengisahkan kehidupan seharian yang bertemu dengan manusia yang leka menyebarkan aib orang lain, sedangkan dirinya sendiri masih penuh dengan cela.

Lagu berkenaan dilancarkan secara rasminya di semua platform sejak 2 Februari lalu. Manakala, video muzik pula boleh ditonton di saluran YouTube World Peace Entertainment. – SB