SEBANYAK 3,382 pusat peperiksaan disediakan bagi Ujian Bertutur dan Ujian Mendengar (Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris) serta Ujian Amali Sains peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 akan beroperasi secara berperingkat di seluruh negara bermula esok.
Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan 50,514 petugas peperiksaan dilantik bagi kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan berkenaan.
Ujian Bertutur Bahasa Melayu akan dilaksanakan bermula esok hingga Khamis ini (10 Feb), Ujian Bertutur Bahasa Inggeris pada 22 hingga 24 Feb ini manakala Ujian Mendengar kedua-dua bahasa itu akan dibuat pada 21 Feb, melibatkan 401,927 calon bagi Bahasa Melayu dan 401,087 calon bagi Bahasa Inggeris.
Ujian Amali Sains untuk subjek Fizik, Kimia dan Biologi akan dilaksanakan pada 15 Feb melibatkan 91,962 calon (Fizik); 93,353 calon (Kimia) serta 72,669 calon (Biologi) manakala Ujian Amali Sains (Sains Tambahan) dijalankan pada 17 Feb dengan 1,049 calon.
“Lembaga Peperiksaan mengingatkan semua calon agar merujuk jadual waktu peperiksaan yang boleh dimuat turun di http://lp.moe.gov.my. untuk mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung,” menurut kenyataan itu.
Calon juga diingatkan membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan serta mematuhi garis panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam serta prosedur operasi standard ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan bagi pencegahan wabak COVID-19.
— BERNAMA
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.