16 selamat, seorang hilang bot nelayan karam di perairan Langkawi

0
497

Oleh RIZQI ZABIDI

SERAMAI 16 individu selamat manakala seorang lagi masih hilang dalam kejadian bot nelayan tempatan karam di kedudukan 5 batu nautika, barat laut Pulau Payar, Langkawi semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 10.40 pagi semalam ketika bot nelayan tempatan kelas ‘A’ (Bot bilis) tersebut sedang menangkap ikan bersama beberapa bot nelayan lain.

Katanya, bot tersebut dengan nombor pendaftaran KHF 886 dipercayai karam setelah satu daripada hosnya tercabut menyebabkan air memasuki bilik jentera sekali gus menenggelamkan keseluruhan bot dalam masa singkat.

Sebahagian daripada nelayan yang diselamatkan dan dipindahkan ke Bot Penyelamat 5 Maritim Malaysia.

“Sebaik bot ronda Maritim Malaysia tiba di lokasi kejadian, 16 daripada 17 kru bot itu yang merupakan warganegara Thailand termasuk tekong berusia antara 27 hingga 57 tahun, telah diselamatkan oleh dua bot nelayan tempatan di sekitar situ.

“Mereka kemudiannnya dipindahkan ke bot Penyelamat 5 milik Maritim Malaysia dengan seorang daripadanya cedera ringan di tangan serta dada. Begitu pun seorang kru bot dikenali sebagai Phanu Tarurak, 27, masih hilang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, mangsa yang selamat diserahkan kepada majikan manakala individu yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Maliha (HSM), Langkawi untuk rawatan lanjut.

Seorang daripada nelayan yang diselamatkan dan mengalami kecederaan

Usaha mengesan dan mencari seorang lagi mangsa yang disyaki tenggelam bersama bot karam itu diteruskan dengan mendapatkan khidmat penyelam dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Pemilik bot tersebut turut menggunakan khidmat pasukan penyelam bebas dalam misi sama selain berusaha melakukan kerja-kerja untuk menimbulkan semula bot tersebut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here