Perihal 5 markah dan ‘amukan’ peminat kepada Iqbal buat Big Stage 2021 panas

“SAYA bagi lima markah kerana dia bukan kerana tone deaf. Kalau dia datang uji bakat mungkin tak dapat. Ada sesetengah orang tidak boleh menyanyi tetapi orang suka. Mungkin dia adalah begitu,” kata Ajai usai melihat persembahan Iqbal Zulkefli pada konsert pertama Big Stage 2021.

Konsert yang berlangsung pada Ahad malam itu mencipta kejutan dengan kehadiran usahawan itu yang tiba-tiba sahaja diumumkan sebagai peserta ke-12.

Padahal dalam sidang media yang diadakan beberapa minggu lalu, hanya 11 peserta sahaja diperkenalkan.

Sudah pasti kejutan yang dilakukan oleh pihak penyiar dilihat ‘busuk’ dan mengundang komen negatif peminat. Ada yang beranggapan meletakkan orang yang tidak sepatutnya merupakan satu kesilapan.

Seperti yang dijangka, dia yang membawakan lagu Biarlah Bulan Bicara bukan sahaja mendapat 5 markah daripada Ajai tetapi juga mengundang komen panas daripada juri lain.

Datuk Seri Siti Nurhaliza yang turut bertindak selalu juri tetap juga kelihatan bingung usai menyaksikan persembahan lelaki berusia 28 tahun itu.

“Saya harap dia dapat beri kejutan pada minggu akan datang,” komen Siti ringkas sambil memberikan 25 markah kepadanya.

Dengan jumlah markah yang diterima, Iqbal berada di kedudukan paling bawah bersama Syafiq Abdilah dan Megat Rahim. Pun begitu Megat tidak membuat persembahan kerana positif Covid-19.

Minggu pertama Big Stage 2022 menyaksikan Aishah Retno menerima markah tertinggi, manakala tempat kedua Daniel Chuer dan Yazmin Aziz di tangga ketiga.

Program nyanyian yang mengetengahkan bakat generasi baharu itu turut disertai oleh Lia Aziz, Tuah Azmi, Ajoi Zainal, Jerung Merah, Elicia Paujin dan Tegar Septian.

Menjengah di platform media sosial pula, rata-rata peminat dan orang industri kecewa dengan permainan yang dilakukan oleh pihak penyiar.

Mereka bukan sahaja mempersoalkan kemasukan Iqbal tetapi juga membuatkan nama lelaki tersebut trending di Twitter kerana dikecam netizen.

Ada yang beranggapan lebih ramai peserta yang lebih layak diletakkan berbanding memasukkan usahawan kontroversi itu semata-mata mahukan rating.

Dan sekarang kredibiliti juri pula menjadi perhatian untuk minggu-minggu mendatang sama ada mereka akan bertindak telus dalam pemberian markah atau masih bersekongkol ‘menyimpan’ Iqbal untuk mengejar rating. – SB