Tahun Baru Cina punca telur ayam kurang

PENINGKATAN permintaan dan pembelian telur ayam serta penutupan operasi syarikat pengeluar sempena cuti Tahun Baru Cina adalah antara penyumbang kepada kekurangan bekalan makanan itu di pasaran ketika ini.

Menurut Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam pada musim perayaan itu berlaku peningkatan mendadak permintaan dan pembelian telur ayam.

Menurut beliau, bekalan telur menjadi lebih meruncing apabila bekalan di pasaran tidak mampu menyaingini permintaan ekoran penutupan operasi ladang ternakan ayam dan telur ayam serta syarikat logistik penghantaran sepanjang cuti perayaan itu.

“Semua itu menyumbang kepada kelewatan dalam membekalkan bekalan telur dari ladang ke pemborong dan peruncit di beberapa tempat seperti di Terengganu, Negeri Sembilan, Perlis serta Sarawak,” katanya dalam kenyataan beliau pada Jumaat.

Azman berkata, rakyat Malaysia menggunakan kira-kira 30 juta telur ayam sehari atau 930 juta sebulan di seluruh negara.

“Berdasarkan data pengeluaran telur ayam dari 50 syarikat telur ayam yang mewakili 80 peratus pengeluaran telur ayam di Malaysia, sebanyak 839,281,658 biji telah dikeluarkan pada Disember 2021,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan unjuran pengeluaran telur ayam bagi Januari 2022 pula adalah sebanyak 839,882,296 biji.

“Sehingga 3 Februari lalu, sebanyak 91 peratus ketersediaan bekalan telur ayam dalam pasaran negara direkodkan berdasarkan pemantauan yang telah dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, peratusan tersebut menunjukkan bahawa bekalan telur ayam adalah stabil dan mampu untuk memenuhi permintaan semasa pengguna Malaysia.

“Kementerian yakin bekalan telur akan kembali stabil apabila ladang dan syarikat logistik penghantaran beroperasi semula tidak lama lagi,” katanya.

Menurutnya, KPDNHEP telah mengarahkan supaya semua peruncit untuk memperbaharui stok yang ada di premis masing-masing dan menghubungi pemborong dan pengeluar jika stok mereka jatuh ke tahap pesanan semula.

Katanya, kementerian juga telah mengarahkan supaya peruncit-peruncit melaksanakan pembelian terhad jika perlu untuk memastikan lebih ramai pengguna dapat membeli dan menikmati telur ayam. – SB