SATU sindiket dikesan menawarkan lesen memandu tanpa perlu melalui ujian dan kelas memandu dengan membuat iklan dalam media sosial.
Sindiket berkenaan menawarkan lesen memandu dengan harga bermula dari RM580 sehingga RM5,000 bagi mendapatkan lesen berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, sehingga kini pihaknya menerima sembilan laporan berhubung penipuan terbabit.
“Tujuh laporan diterima di Pulau Pinang dan dua kes di Kelantan membabitkan kerugian keseluruhan bernilai RM17,080.
“Siasatan mendapati sindiket menawarkan lesen memandu tanpa perlu menghadiri sebarang ujian,” katanya seperti dipetik Harian Metro, hari ini.
Menurutnya, orang ramai diingatkan untuk sentiasa berwaspada ketika melakukan urusan melalui internet atau laman sosial dengan menyemak nombor akaun bank dan nombor telefon di Semak Mule.
“Orang ramai juga perlu berhati-hati ketika melakukan transaksi ke akaun yang tidak dikenali.
“Masyarakat juga diseru untuk mendapatkan lesen memandu melalui saluran yang betul. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.