Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
KJ sudah tempah vaksin untuk anak -

KJ sudah tempah vaksin untuk anak

PERSOALAN yang sengaja ditimbulkan oleh sesetengah pihak kononnya Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin tidak mahu menvaksinkan anaknya kini terjawab apabila beliau mengesahkan anak-anaknya sudah didaftarkan untuk diinokulasikan.

Menurut Khairy, beliau sudah membuat tempahan untuk suntikan vaksin bagi anaknya yang berusia enam tahun di Aplikasi MySejahtera.

Perkara itu dimaklumkan bagi menjawab dakwaan segelintir pihak yang mengatakan beliau serta anaknya sendiri enggan divaksin.

“Semalam saya sendiri buat tempahan untuk anak saya. Ini bagi menjawab tohmahan yang kata saya tak vaksin, malah anak pun tak vaksin.

“Anak saya berumur enam tahun akan divaksin dan Insya-Allah saya harap yang lain juga akan buat tempahan kepada anak-anak mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) pada Selasa.

Khairy berkata, cabaran utama pihaknya kini adalah untuk memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa vaksin untuk kanak-kanak adalah selamat.

“Ramai terutamanya di media sosial meminta supaya tidak dipaksa (pengambilan vaksin) dan sebagainya. Saya memberi jaminan, contohnya jika orang dewasa tak lengkap vaksin, kita tak benarkan mereka masuk ke kedai makan, pusat beli-belah dan sebagainya, tetapi untuk kanak-kanak ia tiada syarat itu.

“Mereka diberikan pengecualian kerana kita nak pastikan ibu bapa yakin dengan proses ini, tidak terasa dipaksa dan vaksin ini akan melindungi anak mereka daripada kesan yang lebih buruk daripada jangkitan Covid-19,” katanya.

Beliau yakin dengan terlaksananya PICKids, negara dapat mencapai tahap pemberian vaksin yang memuaskan.

“Kita bukan saja dapat menjaga kesihatan awam, tetapi merancakkan semula pemulihan ekonomi negara,” katanya. – SB