Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SEORANG penganggur lelaki yang disyaki bertindak sebagai ‘runner’ mengedar dadah ditahan polis bersama sejumlah dadah dalam operasi khas di sekitar Muar pada 30 dan 31 Januari lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, Asisten Komisioner (ACP) Mohd. Afzanizam Yahaya berkata, lelaki berusia 48 tahun itu ditahan dalam operasi yang dijalankan antara pukul 6 petang hingga 1.30 pagi.
Beliau berkata, dalam operasi khas yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dan Kontinjen Johor turut menyerbu sebuah rumah pangsa yang disewa untuk dijadikan stor penyimpanan dadah.
“Kita menjalankan tiga serbuan dalam operasi khas ini dan berjaya menahan suspek di sebuah unit rumah pangsa yang dipercayai dijadikan sebagai stor untuk menyimpan dadah.
“Kita berjaya merampas 10 kilogram heroin, 388 gram syabu dan 250 biji pil eramin 5 yang keseluruhannya berjumlah RM176,697 selain merampas wang tunai RM685,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.
Mohd. Afzanizam berkata, hasil ujian saringan air kencing, suspek didapati positif Methamphetamine dan hasil semakan juga mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
Katanya, suspek menggunakan modus operandi menyewa sebuah unit rumah pangsa itu dengan kadar sewaan RM500 sebulan sejak Disember 2021 hanya untuk menjadikan kediaman itu sebagai stor menyimpan bekalan dadah.
“Jumlah dadah yang dirampas ini jika terlepas ke pasaran ia boleh digunakan 51,990 penagih.
“Kita sedang menjalankan siasatan bagi mengesan suspek lain yang terbabit dan lokasi pemprosesan dadah ini.
“Hasil siasatan mendapati sumber bekalan dadah ini diperolehi adalah dari utara dan dipercayai untuk diedarkan di pasaran sekitar daerah Muar,” jelasnya.
Menurutnya, suspek kini masih dalam tahanan reman selama enam hari sehingga Sabtu ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.