AMARAN buat institut memandu – permit mereka boleh dibatalkan jika ramai dalam kalangan bekas pelajar mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya atau melakukan kesalahan trafik.
Tindakan batal atau gantung permit institut memandu tersebut akan dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan meletakkan kod pada lesen memandu pemandu.
Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim kaedah itu akan membolehkan pihaknya mengesan daripada institut memandu mana pesalah trafik itu menerima latihan.
Bagaimanapun, beliau berkata kaedah itu masih dalam peringkat cadangan dan dijangka disenaraikan di bawah sistem e-Testing yang bermula di seluruh negara April tahun ini.
“JPJ akan buat satu jejak audit apakah kesilapan atau apa-apa yang tidak betul sama ada infrastruktur yang tidak lengkap atau apakah sebab hingga disaman dan dibuat dalam konsep pendigitalan JPJ,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutup Kursus Pensijilan Pengajar Institut Memandu (SPIM) Baru dan Kursus Pensijilan Pengajar Institut Memandu (SPIM) di Akademi Memandu Anda Sdn Bhd, Melor pada Ahad.
Zailani selanjut menjelaskan, berdasarkan rekod sedia ada terdapat 10,569 pengajar SPIM di Malaysia disijilkan selari dengan Kaedah 11 (4) Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Sekolah Memandu) 1992.
“Walau bagaimanapun terdapat lebih kurang 1,779 permohonan tertunggak yang masih belum diselesaikan akibat daripada sekatan aktiviti program seperti pelaksanaan kursus, seminar, bengkel, latihan dan ceramah yang dikuatkuasakan oleh pihak kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia dan JPJ sebanyak 80% punca kemalangan jalan raya adalah sebabkan faktor kecuaian oleh manusia.
Katanya, kebanyakan yang terlibat dalam kemalangan adalah motosikal iaitu lebih 60%. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.