Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Mohd. Izhar keluar parti kerana ‘takut’ kalah, hilang jawatan – Solihan -

Mohd. Izhar keluar parti kerana ‘takut’ kalah, hilang jawatan – Solihan

KETUA Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor, Mohd. Solihan Badri mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Datuk Mohd. Izhar Ahmad keluar parti kerana ‘takut’ kalah.

Beliau turut mendakwa tindakan Mohd. Izhar Ahmad keluar daripada BERSATU kerana ada sebab lain di sebalik dakwaan beliau parti itu telah gagal.

Tegasnya, alasan Mohd. Izhar telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah tidak berasas, walhal beliau masih menganggotai BERSATU sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 22 Januari lalu.

Menurut Mohd. Solihan, tindakan Mohd. Izhat keluar parti itu kerana menganggap Perikatan Nasional (PN) akan tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sekali gus menyebabkan beliau akan hilang jawatan Exco dan lantikan Ahli Lembaga Pengarah syarikat kerajaan negeri.

Justeru kata beliau, Mohd. Izhar beranggapan dengan keluar BERSATU, peluang untuk menyertai parti tertentu dan kekal menjadi Exco adalah terbuka walaupun mendakwa tidak mahu mempertahankan kerusi DUN Larkin atau bertanding di mana-mana kerusi lain.

“Sebaliknya, tindakan dan dakwaan Mohd. Izhar mencetuskan pelbagai persepsi negatif, sekali gus bakal memakan diri sendiri kerana dilakukan ketika DUN sudah dibubarkan bagi memberi laluan pilihan raya diadakan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mohd. Solihan yang juga Ketua BERSATU Bahagian Ledang yakin tindakan Mohd. Izhar dan penyandang kerusi DUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang yang terlebih dahulu mengumumkan keluar daripada parti itu tidak akan memberi kesan kepada BERSATU dalam menghadapi PRN Johor yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Mengenai dakwaan bahawa BERSATU sudah hilang hala tuju, beliau berkata, jika benar dakwaan berkenaan, Mohd. Izhar boleh membuat teguran dalam parti bagi memperbaiki keadaan.

“Malah amat mengelirukan apabila Mohd. Izhar mendakwa prestasinya sebagai wakil rakyat dan Exco berjaya melepasi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sedangkan beliau adalah wakil BERSATU, iaitu parti yang didakwa hilang arah dan gagal.

“Beliau juga silap besar apabila mendakwa Muhyiddin gagal selepas berpisah dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ini kerana Ahli Parlimen Pagoh itu telah dilantik menjadi Perdana Menteri dan melaksanakan pelbagai tindakan untuk kesejahteraan rakyat termasuk melaksanakan inisiatif membendung pandemik Covid-19 dan menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN),” tegasnya. – SB