Lelaki maut jatuh lubang lif diklasifikasikan mati mengejut 

0
455

POLIS telah mengenal pasti dan mengklasifikasikan   kejadian seorang pekerja penyelenggaraan yang ditemui maut selepas terjatuh dari tingkat dua ruangan lif sebagai mati mengejut.

Menurut Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup mendapati mangsa tergelincir ke dalam ruangan lif semasa memijak tong sampah besi yang digunakan sebagai alas pada jam 11.55 pagi, Jumaat.

“Kejadian itu tidak disedari oleh orang lain kerana lif tersebut tidak digunakan dan bukan berada di laluan pengunjung,” katanya dalam kenyataan pada Ahad. 

Dalam pada itu menurutnya, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian yang berlaku di sebuah pusat beli-belah di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur itu pada 11.07 pagi, Sabtu.

“Mangsa berusia 32 tahun ditemukan dalam keadaan tertiarap di tingkat bawah ruangan lif pusat beli-belah berkenaan.

“Anggota Bomba dan Penyelamat mengeluarkan mangsa dan pegawai perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang hadir di tempat kejadian telah mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya.

Muhammad Idzam berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Lelaki itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang ke lokasi ketika operasi menyelamatkan dijalankan dan lubang lif berkenaan dianggarkan sedalam 1.8 meter. – SB