Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
KPDNHEP patahkan cubaan seleweng minyak diesel dan minyak masak bersubsidi -

KPDNHEP patahkan cubaan seleweng minyak diesel dan minyak masak bersubsidi

KEMENTERIAN Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang dan Negeri Sembilan menggalkan cubaan menyeleweng minyak diesel serta minyak masak dianggarkan lebih 5,000 kilogram dalam dua serbuan berasingan.

Di Bukit Mertajam, Bernama melaporkan KPDNHEP Pulau Pinang menggagalkan cubaan menyeleweng diesel bersubsidi setelah merampas 2,800 liter minyak diesel bernilai RM6,582.85 dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Jalan Bukit Tengah, semalam.

Pengarahnya Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata pihaknya menjalankan risikan sejak sebulan lepas sebelum menyerbu stesen minyak itu pada 6.30 pagi susulan aduan daripada orang awam, berkaitan aktiviti penyelewengan minyak diesel.

“Semasa serbuan dijalankan didapati sebuah lori tangki sedang mengisi minyak diesel bersubsidi menggunakan dua nozel di pam stesen minyak itu dengan minyak diesel turut dipam masuk ke dalam tangki lori.

“Pemilik lori itu dipercayai telah mengubah suai bahagian tangki minyak dengan menyediakan satu mesin khas untuk mengepam minyak di bahagian tangki terus masuk ke tangki supaya diesel bersubsidi tersebut boleh dibeli dalam kuantiti yang banyak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya pemeriksaan pada resit belian mendapati lori berkenaan telah membuat pengisian minyak diesel bersubsidi sebanyak RM6,582.85 dalam masa lebih kurang 40 minit sedangkan setiap lori selalunya hanya mampu mengisi 100 hingga 200 liter diesel sahaja.

Mohd Ridzuan berkata pemandu lori yang berusia 30-an berkenaan ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada Pengawal Bekalan bagi membeli barangan bersubsidi.

“Selain menyita 2,800 liter minyak diesel, kami turut merampas lori tangki dan dua telefon bimbit untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Sementara itu, di Seremban, KPDNHEP Negeri Sembilan menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak masak peket bersubsidi satu kilogram (kg) dalam serbuan di sebuah premis di Bukit Pelandok, Port Dickson.

Pengarahnya, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata minyak masak peket tersebut dipercayai digunakan sebagai bahan asas di dalam proses penghasilan minyak sembahyang dengan dicampur bahan-bahan lain kerana harganya lebih murah berbanding minyak masak industri.

Beliau berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, pihaknya bertindak menyerbu premis berkenaan kira-kira 12.05 tengah hari dan menahan seorang lelaki tempatan berumur 65 tahun yang bertanggungjawab terhadap premis itu bagi membantu siasatan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 159 kotak mengandungi minyak masak peket 1kg dengan jumlah keseluruhan 2,703kg minyak masak berada di dalam premis berkenaan. Kesemua barangan berkenaan dengan anggaran nilai rampasan RM6,757.50 telah disita,” katanya.

Suspek dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak setahun di lokasi sama melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. – SB