POLIS merampas tujuh ketulan dadah mampat seberat 7 kilogram yang dipercayai disorok oleh lelaki warga asing di dalam reban ayam di kebun durian dekat Legong Jaya, Kota di Rembau, Negeri Sembilan.
Dalam pemeriksaan kira-kira jam 12 tengah hari pada Isnin itu, polis turut menemukan selaras senapang angin buatan sendiri bersama guli dipercayai digunakan sebagai peluru.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, serbuan menerusi Ops Tapis itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Rembau.
“Hasil risikan dijalankan selama seminggu, kami membuat serbuan di lokasi berkenaan sebelum menahan lelaki warga asing berusia 29 tahun yang tinggal di pondok berkenaan dan dipercayai bekerja sebagai penjaga kebun durian.
“Pemeriksaan lanjut dilakukan sebelum kami menemukan satu bekas plastik yang mengandungi tujuh ketulan mampat daun kering dipercayai ganja seberat 7 kg dengan nilai dianggarkan RM10,000 yang disorok di dalam reban ayam tidak jauh dari pondok itu.
“Turut dirampas adalah selaras senapang angin buatan sendiri bersama 21 guli yang dipercayai digunakan sebagai peluru,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Rembau, hari ini.
Katanya, hasil awal saringan ujian air kencing terhadap suspek mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis methaphethamine dan reman terhadap suspek diperolehi sehingga 31 Januari 2022.
Polis masih menjalankan siasatan mengenai modus operandi cara kemasukan dan pasaran dadah yang dirampas berkenaan.
“Berdasarkan maklumat awal, lelaki berkenaan mengaku baru lapan bulan tinggal di negara ini. Dia mengaku senapang yang dirampas digunakan untuk menghalau tupai.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah, Seksyen 15(1) akta sama kerana memasukkan dalam badan serta Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 bagi kesalahan memiliki senjata buatan sendiri,” katanya.- SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.