PRN Johor: Usaha terdesak kluster mahkamah kukuh kuasa, elak penjara – Wan Saiful

0
83

PERKEMBANGAN politik Johor akhir-akhir ini dilihat stabil dan tidak ada sebab untuk diadakan pilihan raya negeri (PRN) secara tergesa-gesa.

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, apa yang terjadi ketika ini memperlihatkan kerakusan UMNO Johor bermain politik demi kuasa, walaupun rakyat masih bergelumang dengan pandemik COVID-19 dan kesan bencana banjir.

“Saya berpandangan ini adalah usaha kluster mahkamah dan para pendokong mereka untuk terus mengalih perhatian daripada kes mahkamah yang sedang mereka hadapi, dan pada masa yang sama memperkukuh kedudukan kluster mahkamah itu sendiri.

“Mungkin kluster mahkamah semakin terdesak dan merasakan bahawa satu-satunya cara untuk lari dari penjara ialah dengan merobek pemisahan kuasa.

“Untuk merobek pemisahan kuasa yang dibina semula bersungguh-sungguh oleh Tan Sri Muhyiddin, mereka mesti membolot kuasa dahulu.

“Saya tidak pelik jika Johor akan diikuti oleh negeri lain pula. Begitulah realiti orang terdesak yang rakus kuasa dan takut penjara,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook.

Beliau juga memaklumkan Bersatu akan mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi dalam minggu ini bagi memuktamadkan strategi menghadapi pilihanraya Johor.

Terdahulu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Negeri Johor (DUN) berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN), diadakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here