PROSES tender bagi pembinaan bangunan dan menaik taraf fasiliti Sekolah Kebangsaan (SK) Long Bemang di Miri, Sarawak akan dibuat selewat-lewatnya Februari ini, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.
Beliau berkata demikian dalam hantaran di laman Facebook rasminya hari ini selepas menerima laporan mengenai murid Tahun Dua yang terjatuh dari beranda sekolah itu kerana kayu penghadang telah reput.
“Sebagai tindakan segera, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak telah menyediakan sejumlah peruntukan bagi pelaksanaan kerja-kerja menggantikan kayu penghadang koridor dan pembaikan kecil lain di sekolah tersebut yang kini giat dilaksanakan dan sebahagiannya telah siap.
“Kementerian Pendidikan akan memastikan pelaksanaan projek penggantian di sekolah itu berjalan lancar dan proses pelantikan kontraktor selepas tender dibuka kelak dimuktamadkan secepat mungkin,” menurut hantaran itu.
Radzi berkata pelaksanaan proses itu adalah bagi membolehkan fasiliti yang lebih kondusif dan selamat disediakan untuk warga sekolah.
Katanya sekolah itu sudah dimasukkan dalam senarai projek pembangunan atau penyelenggaraan bangunan daif di bawah KPM.
Semalam, seorang pelajar perempuan berusia sembilan tahun dilaporkan cedera selepas terjatuh dari beranda sekolah itu pada Rabu lepas. – BERNAMA
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.