AS bertindak balas, gantung 44 penerbangan ke China

0
67

KERAJAAN Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat menggantung 44 penerbangan ke China dari negara itu oleh empat syarikat penerbangan China sebagai tindak balas keputusan kerajaan China menggantung penerbangan syarikat penerbangan AS berikutan kebimbangan COVID-19.

Penggantungan itu akan bermula 30 Januari ini dengan penerbangan Xiamen Airlines dari Los Angeles ke Xiamen yang dijadualkan pada hari itu dan akan berkuat kuasa hingga 29 Mac, menurut Jabatan Pengangkutan.

Reuters melaporkan, keputusan itu membabitkan syarikat penerbangan Xiamen, Air China, China Southern Airlines dan China Eastern Airlines.

Sejak 31 Disember, pihak berkuasa China menggantung 20 penerbangan United Airlines, 10 American Airlines dan 14 Delta Air Lines, selepas beberapa penumpang disahkan positif COVID-19.

Selasa lalu, Jabatan Pengangkutan berkata kerajaan China mengumumkan pembatalan penerbangan baharu AS.

Jurucakap Kedutaan China di Washington, Liu Pengyu, berkata pada Jumaat bahawa dasar penerbangan penumpang antarabangsa yang memasuki China terpakai sama rata kepada syarikat penerbangan China dan asing dengan cara yang adil, terbuka dan telus.

Beliau menyifatkan langkah AS itu “sangat tidak munasabah” dan menambah “kami menggesa pihak AS berhenti mengganggu dan menyekat penerbangan penumpang biasa” oleh syarikat penerbangan China.”

Airlines for America, sebuah kumpulan perdagangan yang mewakili tiga syarikat penerbangan AS yang terjejas dengan langkah China bersama-sama dengan yang lain, berkata ia menyokong tindakan Washington “untuk memastikan layanan adil terhadap syarikat penerbangan AS di pasaran China.”

Menurut Jabatan Pengangkutan, Perancis dan Jerman mengambil tindakan sama terhadap langkah COVID-19 China.

Ia mendakwa tindakan unilateral China terhadap syarikat penerbangan AS adalah tidak konsisten dengan perjanjian dua hala.

Jabatan itu berkata ia bersedia menyemak semula tindakannya jika China menyemak semula “dasarnya untuk membawa keadaan yang perlu diperbaiki bagi syarikat penerbangan AS.”

Ia memberi amaran jika China membatalkan lebih banyak penerbangan, “kami berhak untuk mengambil tindakan tambahan.”

China menutup sempadannya kepada pengembara, mengurangkan jumlah penerbangan antarabangsa kepada hanya 200 seminggu, atau dua peratus daripada tahap prapandemik, kata Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) pada September.

Bilangan penerbangan AS yang dibatalkan meningkat sejak Disember, kerana jangkitan disebabkan varian Omicron yang sangat menular yang menyumbang lonjakan kes kepada rekod tertinggi di AS.

Persaingan antara Beijing dan Washington dalam perkhidmatan udara berlaku sejak pandemik bermula. Pada Ogos, Jabatan Pengangkutan AS mengehadkan empat penerbangan daripada syarikat penerbangan China kepada 40 peratus kapasiti penumpang selama empat minggu selepas Beijing mengenakan had yang sama pada empat penerbangan United Airlines.

Sebelum pembatalan baru-baru ini, tiga syarikat penerbangan AS dan empat syarikat penerbangan China mengendalikan kira-kira 20 penerbangan seminggu antara negara, jauh di bawah angka lebih 100 seminggu sebelum wabak. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here