PENGGUGURAN jawatan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat adalah perubahan yang biasa dan bukanlah isu hangat.
Keputusan untuk menggugurkan beliau selepas kurang dua bulan dilantik memegang jawatan itu juga bukan kerana kaitan dengan Muafakat Nasional (MN), kata Timbalan Presiden pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Jelas Tuan Ibrahim, pengguguran itu bagi melantik individu lain yang mempunyai kepentingan dalam konteks jawatankuasa parti berkenaan.
“Khairuddin dicadang dilantik (semula) oleh Presiden (Tan Sri Abdul Hadi Awang) dan kemudian Presiden tarik balik cadangan itu kerana selepas kita mesyuarat, Presiden ada cadangan nama lain dan beliau (Mohd Khairuddin) digugurkan.
“Jadi tidak ada kaitan dengan MN, ini masalah dalaman parti. (Maka) tak ada isu sangat. Khairuddin juga masih kekal cuma tidak dalam AJK PAS Pusat, ada program-program lain yang diuruskannya,” katanya seperti yang dilaporkan Mingguan Malaysia pada Ahad.
Pada 23 November lalu, Khairuddin adalah antara tiga pemimpin tertinggi PAS yang dilantik semula sebagai AJK Pas bagi sesi 2021-2023 selepas tewas dalam pemilihan parti di samping Mohd. Zuhdi Marzuki dan Nik Abduh Nik Abdul Aziz.
Bagaimanapun, Hadi pada Jumaat lalu dilaporkan mengesahkan pengguguran Khairuddin dan berkata, pengguguran mana-mana pemimpin adalah perkara biasa dalam parti itu sama ada diberhenti atau ditukarkan. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.