IBARAT selagi masih mampu memegang pen untuk melukis, selagi itu seorang kartunis, Deen atau nama sebenarnya Nordin Misnan akan meneruskan minatnya dalam dunia kartun yang diceburinya selama 26 tahun.
Peminat siri kartun ruangan ’Ragam’ yang pernah disiarkan setiap Ahad di akhbar Berita Harian berpeluang mengikuti karya terbaru beliau, ‘Ragam Orang Kita’.
Menerusi terbitan sulung terbarunya, Deen menggarap isu-isu setempat dan global yang mengaburkan mata sifatnya, menerusi kaedah kontras dan perbandingan, merentasi tema-tema sosiopolitik, ekonomi, budaya dan hal ehwal persekitaran.

Menurut Deen, hasil karyanya yang mempunyai 144 halaman muka surat kali ini padat dengan sindiran dan ilustrasi disertakan dengan mesej yang tersirat.
“Himpunan cerita ragam orang kita adalah satu adaptasi kartun mengenai isu semasa, mengenai isu global yang berlaku di seluruh dunia.
“Contohnya di Malaysia, mengenai Covid-19, rasuah, pendatang asing, penipuan. Sebenarnya ia cerita-cerita tular yang berlaku di Malaysia.
“Dalam itu bukan kartun kita yang lawak seperti lawak santai, ini semua ada mesej kita terapkan, nilai-nilai kemanusiaan,” katanya ketika ditemui SatuBerita.

Menurutnya, dalam menghasilkan karya ini, beliau diinspirasikan oleh lagenda dunia komik, Datuk Lat, yang menasihati beliau supaya menghasilkan sebuah buku menggambarkan suasana dan ragam masyarakat di Malaysia.
“Atas nasihat idola saya Datuk Lat, beliau nasihatkan saya menghasilkan sebuah buku kartun yang imejnya adalah Malaysia, oleh sebab itu, kita tengok kulit depan buku saya menggambarkan sebuah rumah kampung dengan suasana pelbagai ragam,” katanya.
Selain itu menurutnya, beliau sentiasa membawa sebatang pen dan sebuah buku nota kecil sebagai ‘senjata’ untuk sentiasa bersedia jika ada idea yang datang secara spontan.
“Idea ini datang secara spontan, sama ada kita tengah makan, memandu, main layang-layang, main gasing, main muzik, di situlah tiba-tiba idea datang.
“Pada kita, cukup mendapat sentuhan drastik, memori kita bukan seperti handphone, jadi kita bawa buku nota kecil dan pen, bila terlintas idea terus kita tuliskan di buku nota kecil supaya tidak terlupa.
“Di situlah senjata seorang pelukis disimpan, untuk buat rujukan mereka supaya idea itu tidak lupus,” ujarnya.

Menyentuh tentang dunia kartun di Malaysia, Deen berpendapat dunia kartun Malaysia sekarang kekurangan warisan bakat.
Namun begitu, beliau tidak menyalahkan peredaran zaman yang menuju ke arah digital, tetapi ingin memastikan warisan ‘pen dan kertas’ tidak terpinggir atau dipinggirkan.
“Era digital bagi saya satu pencapaian teknologi yang amat berguna kepada masyarakat, tetapi saya masih menggunakan kaedah lama, melukis dengan kertas, sketch dan inky, semuanya manual.
“Pada saya itulah warisan yang patut kita kekalkan, jangan kita lepaskan kerana digital. Dari segi manual, kita kena jaga seperti negara Jepun yang cukup menjaga hak-hak tradisional, manual.
“Itulah satu-satu warisan untuk kita perkenalkan kepada anak-anak kita dan warisan akan datang. Yang akan mengenal sebuah pen, sebuah kertas dan ink, untuk kita mengadaptasi satu-satu ilustrasi dan kaedahnya adalah untuk pengetahuan generasi akan datang,” ujarnya.
Dalam pada itu katanya, beliau masih menggunakan cara ‘manual’ kerana ingin menikmati ‘rasa’ dakwat serta warna yang diluahkan menerusi ilustrasi di atas kertas.
Deen berharap beliau dapat membantu generasi muda yang mempunyai minat dalam dunia kartun dan memastikan mereka meneruskan kesinambungan yang telah ada.
“Anak-anak muda yang ada menerbitkan buku, saya cukup menghormati mereka dengan idea-idea mereka dan masih boleh bertahan dengan jualan-jualan buku mereka.
“Kepada generasi yang muda sekarang janganlah berhenti, teruskan perjuangan. Cuma sekarang kita terhad. Teruskan lagi, jangan berhenti, itu adalah satu anugerah,” katanya.
Jika bukan membaca kartun mingguan beliau di suratkhabar Berita Harian, pastinya rakyat Malaysia pernah miliki sentuhan istimewa karyanya yang sering menghiasi kad ucapan raya yang menjadi fenomena setiap kali menjelmanya bulan Ramadan dan Syawal.
Karya agung Deen, ‘Ragam Orang Kita’ boleh didapatkan secara atas talian di BookCafe.com.my atau aplikasi Shopee dan Lazada rasmi Komik M. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.