MASA terima 134 kertas cadangan daripada 21 institusi untuk geran MPDP

0
306

INSTITUT Masa Depan Malaysia (MASA) telah menerima sejumlah 134 kertas cadangan daripada 21 institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta serta badan bukan kerajaan untuk geran penyelidikan Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP) yang dianjurkan oleh pertubuhan itu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh masa pada Jumaat, kesemua kertas cadangan yang merangkumi tujuh bidang keutamaan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) tersebut telah melalui proses tapisan Sekretariat MPDP dan panel penilai dari sektor awam dan swasta.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 30 kertas cadangan merangkumi topik kajian dalam bidang ekonomi, sosial, kebajikan, pendidikan serta pembangunan lestari telah disenarai pendek dan diputuskan layak oleh panel penilai untuk menerima geran penyelidikan MPDP. 

“Mereka yang terpilih akan ditawarkan geran penyelidikan bernilai sehingga RM10,000 untuk setiap kertas ringkasan polisi yang dihasilkan. Penerima geran MPDP juga digalakkan untuk menerbitkan laporan penyelidikan masing-masing dalam jurnal terkemuka, sama ada di dalam atau luar negara,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MASA, Azril Mohd Amin dalam kenyataan tersebut.

MPDP diperkenalkan pada September 2021 bertujuan menyediakan peluang kepada penyelidik untuk memberikan input dan cadangan polisi bagi membantu proses pelaksanaan pemulihan negara serta strategi dan pelan kerajaan pasca Covid-19.

Senarai penerima geran yang berjaya boleh dilayari di laman web Institut MASA di https://institutmasa.com/ms/geran-penyelidikan-program-pembangunan-dasar-masa-mpdp/. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here