LAGU mereka popular tetapi wajah satu persatu ahli mungkin belum dikenali umum. Namun tuah menyebelahi lima anak muda yang mahu dikenali dengan nama Unknown apabila lagu Jangan Marah (Baby Sayang) mendapat sambutan luar biasa daripada peminat.
Lagu yang begitu catchy dan cepat menangkap lebih mudah diterima ramai. Formula itu juga digunakan oleh Momo, Haf, Zaq, Ameer dan Izmeer yang akhirnya membuatkan hasil sempena langkah pertama mereka.
“Alhamdulillah, setelah penerimaan luar jangkaan daripada peminat terhadap single pertama kami berjudul Jangan Marah (Baby Sayang), Unknown semakin dikenali terutamanya di laman sosial.
“Kini, kami ingin meneruskan kejayaan tersebut dengan single kedua berjudul Tersakiti. Sudah pasti kami mahu lagu baharu ini diterima baik sama seperti lagu terdahulu,” kata Momo.
Jika lagu pertama mereka viral di laman TikTok dan mendapat lebih 300,000 tanda suka daripada peminat, harapan besar juga disandarkan kepada lagu Tersakiti yang tidak kurang hebatnya.

Mengimbas kembali perjalanan kumpulan ini, mereka ditubuhkan daripada ujibakat yang dikendalikan oleh Ace Talent.
Melalui ujibakat tersebut, mereka menjalani proses latihan bersama berbulan-bulan lamanya sebelum mengeluarkan lagu Jangan Marah (Baby Sayang).
Bercerita mengenai Tersakiti pula, lagu tersebut diciptakan oleh Momo bersama Haf yang diinspirasikan daripada lagu Korea yang disukai ramai.
“Ia menceritakan tentang kisah percintaan remaja yang banyak onak dan durinya, Tersakiti bermaksud memberi pesan buat mereka yang sedang merasa ‘sakit’ atau ‘pedih’ di dalam jiwa yang diolah bentuk menjadi sebuah lagu,” tambah Momo.
Bagi Ameer pula, dia menyifatkan apa yang sedang dilalui merupakan proses pembelajaran baharu buat mereka berlima.
Mereka sendiri sedang mencari pelbagai genre baharu sebelum menemui ‘signature’ sebenar Unknown sedikit masa lagi.
“Setiap daripada kami mempunyai watak yang berbeza, Momo seorang yang ‘genius’, Haf sentiasa dengan peribadinya yang ‘cool’, Zaq pula sangat berbakat, Izmeer ada sifat yang melankolik dan saya pula suka membuat orang tertawa,” kongsi Ameer.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Ace Talent, Azuin Alonto, dia menyifatkan kelima-kan mereka merupakan anak muda yang berbakat besar dan mempunyai masa depan yang cerah dalam bidang seni.
“Saya berharap dengan terlancarnya single kedua berjudul Tersakiti ini dapat melonjakkan lagi nama Unknown dan lebih dikenali ramai, mana tahu mungkin juga dapat menembusi pasaran
Indonesia serta Asia Tenggara.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.