SEORANG lelaki maut selepas lori tiga tan sarat dengan muatan tanah yang dipandunya terbabas di selekoh menuruni bukit, sebelum terjunam ke dalam gaung di tapak Kuari Bukit Mak Lipat, Jerus, Pasir Puteh, Kelantan hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 11.40 pagi yang menimpa Mohd. Dali Mohd. Yunus, 53, berlaku di hadapan beberapa pemandu lori lain yang sedang menunggu giliran untuk turun dari bukit berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ketereh, Ahmad Fakaruddin Berahim berkata, sejurus menerima laporan, pihaknya bersama anggota dari BBP Pasir Puteh bergegas ke lokasi dan tiba pada pukul 11.59 pagi.
“Setibanya anggota penyelamat di lokasi kejadian, kita mendapati lori tiga tan dipandu mangsa telah terjatuh ke dalam gaung. Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan namun disahkan sudah meninggal dunia.
“Menurut saksi, mangsa pertama kali naik ke bukit berkenaan untuk mengangkut muatan tanah dan ada memaklumkan kepada rakannya bahawa dia berdepan kesukaran untuk mengendalikan kenderaan,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintenden Ediansha Endal ketika mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa yang memandu lori jenis Isuzu didapati memiliki lesen memandu E dan D.
“Kemalangan berlaku selepas dia selesai mengisi tanah dan mahu turun ke bawah bukit. Setibanya di satu selekoh, mangsa dikatakan gagal mengawal kenderaan lalu terbabas dan jatuh ke lereng kanan bukit.
“Mangsa berasal dari Kampung Serdang Muda, Melor didapati cedera parah pada bahagian belakang kepala, tangan kanan dan kaki kanan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh untuk bedah siasat,” katanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.