Jawatankuasa pilihan khas Parlimen bermesyuarat minggu depan bincang isu Azam Baki

0
274

JAWATANKUASA Pilihan Khas Bagi Agensi-Agensi Bawah Jabatan Perdana Menteri akan mengadakan mesyuarat minggu depan bagi membincangkan isu pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin, dalam satu pekeliling kepada sembilan anggota jawatankuasa tersebut bertarikh 11 Januari 2022 memaklumkan mesyuarat berkenaan akan diadakan pada 19 Januari pukul 2 petang.

“Mesyuarat ini bertujuan membincangkan isu pemilikan saham syarikat oleh ketua pesuruhjaya SPRM,” katanya dalam pekeliling yang dimuat naik Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin di Facebook hari ini.

Memetik laporan Malaysianow, melalui pekeliling itu, Nizam turut meminta semua ahli jawatankuasa berkenaan menjalani ujian kendiri Covid-19 di klinik Parlimen sebelum menghadiri mesyuarat.

“Ahli-ahli Yang Berhormat juga dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) oleh Parlimen Malaysia ketika berada di kompleks Parlimen.”

Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Agensi-Agensi Bawah Jabatan Perdana Menteri dipengerusikan Ahli Parlimen Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman dari PAS.

Selain beliau, Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Tajuddin Abdul Rahman (Umno); Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria (Umno); Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau (Gabungan Parti Sarawak); Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS); Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen (PKR); Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong (DAP); dan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman (Warisan).

Foong Hin dari DAP yang turut menganggotai jawatankuasa itu berkata beliau menerima surat pekeliling itu pagi tadi.

“Isu yang akan kami bincang: isu pemilikan saham syarikat oleh ketua pesuruhjaya SPRM,” katanya dalam hantaran yang mengiringi surat pekeliling tersebut. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here