SEORANG guru di sebuah madrasah bersama pelajarnya masing-masing didenda RM1,500 oleh Mahkamah Sesyen di Sungai Petani atas kesalahan menceroboh Hutan Simpan Kekal Rimba Teloi, Sik, Kedah tahun lalu.
Mahkamah memerintahkan tertuduh, Ismail Taib, 69, dan Kairulanuar Zulkifili, 34, dipenjara selama enam bulan jika gagal membayar denda itu.
Hakim Najwa Che Mat membuat keputusan itu selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka dituduh memasuki kawasan hutan tertutup iaitu Kompartmen 23, Hutan Simpan Rimba Teloi tanpa memiliki permit memasuki hutan simpanan kekal pada jam 11.30 pagi pada 23 Ogos 2021.
Mereka didakwa mengikut Subseksyen 47 (1) (c) Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) yang diterima pakai oleh Negeri Kedah di bawah Enakmen (Pemakaian) Perhutanan Negara 1985 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 47 (4) Enakmen yang sama.
Sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan di lakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Naquiah Jusoh dan Naliatul Huzaimi Ab Rasip.
Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, kedua-dua tertuduh dalam rayuan meminta denda dikurangkan, berikutan orang susah dan menanggung keluarga.
Bagaimanapun, Naquiah memohon satu hukuman setimpal dikenakan memandangkan mereka melakukan kesalahan menceroboh hutan simpan.
Ini kerana katanya, hutan simpan adalah kawasan tadahan air bagi mengelak berlakunya bencana alam.
Kedua-dua tertuduh kemudiannya membayar denda berkenaan di Kompleks Mahkamah Sungai Petani. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.