Diana Danielle tak mahu anak membesar di tangan orang lain

PERKONGSIAN yang dibuat oleh pelakon Diana Danielle mengenai isu menambah anak menarik perhatian ramai sejak akhir-akhir ini.

Dia yang menyatakan hasrat tidak mahu lagi menambah anak dan bahagia dengan keluarga kecilnya itu menarik perhatian segelintir pihak mengenai perkara tersebut.

Tegas isteri kepada Farid Kamil ini, dia enggan lagi menambah cahaya mata kerana mahu meluang lebih masa bersama dua orang anaknya, Muhammad, 9, dan Nur Aurora , 6.

“Ibu bekerja lagi berfikir lebih. Tidak mahu anak yang baru dilahirkan membesar dengan orang gaji dan cikgu taska sahaja. Itu bukan sebab kami mahukan anak.

“Saya mahu menjadi ibu, saya mahu membimbing mereka dan menjadi tempat rujukan. Sehingga sekarang, masih banyak kerja keibubapaan yang perlu dilakukan. Termasuklah dengan diri saya sendiri,” kata Diana.

Pendapat yang dilontarkan oleh Diana ini mengundang perhatian peminat dan beberapa orang rakan artis lain yang bersetuju dengannya.

Tanggungjawab membesarkan anak bukan satu tugas yang mudah memandangkan pelbagai perkara perlu diberikan perhatian oleh mereka yang bergelar ibu bapa.

“Anak yang kedua sudah enam tahun, tetapi bagi saya, pada usia inilah mereka perlukan bimbingan dan input setiap masa sebelum melangkah ke fasa remaja.

“Nampak sahaja besar, tetapi masih nak pelukan, manja dan mahu teroka dan terangkan soalan-soalan makin rumit dan mendalam.

“Sikap ingin tahu mencanak, personaliti makin terbentuk, makin pandai persoalkan kita, makin ingin berkawan dengan mengenali dunia luar. Saya tidak nampak itu sebab untuk tambah dan tambah,” jelasnya lagi.

Pun begitu, pelbagai faktor lain harus diambil kira sekiranya ibu bapa mahu menambah bilangan cahaya mata.

Soal tanggungjawab perlu diletakkan dihadapkan berbanding dengan soal duit, emosi, mental dan juga masa.

“Masa yang tepat akan tiba jika kami rasakan perkara tersebut (untuk menambah cahaya mata) patut berlaku,” katanya yang memberikan bayangan akan menambah cahaya mata bila tiba waktunya.