15 direman kemuka dokumen palsu tender pembersihan

0
292

SERAMAI 15 individu termasuk seorang wanita direman bagi membantu siasatan kes mengemukakan penyata akaun bank milik beberapa syarikat mengandungi butiran palsu pada 2018 dan 2019.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor selepas membenarkan permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Mereka yang berusia 31 hingga 68 tahun direman selama tiga hingga lima hari bermula hari ini.

Semalam BERNAMA melaporkan SPRM menahan 21 individu termasuk tiga wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan penyata akaun bank syarikat yang mengandungi butiran palsu kepada sebuah syarikat pembersihan.

Sumber SPRM memberitahu semua suspek berusia antara 31 dan 77 tahun ditahan secara berasingan di sekitar Bangi, Selangor dan Pejabat SPRM Kedah, semalam.

“Semua OKT (Orang Kena Tahan) ditangkap kerana dipercayai mengemukakan penyata akaun bank milik syarikat yang mempunyai butiran palsu kepada sebuah syarikat pembersihan untuk melayakkan syarikat mereka memasuki tender Penswastaan Pengumpulan Sisa Pepejal dan Pengurusan Pembersihan Awam di Wilayah Utara,” katanya malam tadi.

Sumber berkenaan berkata semua yang ditahan terdiri daripada pemilik, pengarah dan pengurus syarikat selain kontraktor serta bekerja sendiri.

Menurutnya SPRM juga sedang mengesan individu lain yang dipercayai terlibat dan sedang mendapatkan dokumen penting dalam kes itu, selain merakam pernyataan beberapa saksi.

Katanya SPRM juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan berkaitan kes itu selepas ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here