MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) akan merangka Pelan Pemulihan Negara 2.0 (PPN 2.0) yang memfokuskan pemulihan negara secara menyeluruh dalam kadar segera.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin berkata, perkata itu adalah susulan kejayaan PPN sebelum ini yang disifatkan sebagai sebuah ‘pelan jalan keluar’ berkesan bagi membolehkan sektor-sektor di dalam negara dibuka dengan selamat.
“Ia membuahkan hasil apabila seluruh negara kini telah beralih kepada fasa empat PPN. Maka, majlis berpandangan bahawa satu PPN untuk fasa empat dan seterusnya diperlukan.
“PPN 2.0 akan dirangka segera secara komprehensif dan inklusif yang melibatkan input daripada semua pemegang taruh termasuk pakar-pakar dalam pelbagai bidang, NGO, Kerajaan Negeri dan sebagainya bersesuaian dengan pendekatan seluruh negara (whole nation approach),” katanya.
Muhyiddin memaklumkan perkara itu pada sidang akhbar selepas mesyuarat MPN di Putrajaya, hari ini.
Menurut beliau, mesyuarat hari ini turut bersetuju supaya satu pasukan jawatankuasa daripada kementerian dan agensi yang berkaitan ditubuhkan bagi menyediakan draf PPN 2.0 bagi fasa empat dan juga fasa-fasa seterusnya.
“Jawatankuasa ini akan membantu MPN untuk merangka strategi dan pendekatan bagi menangani apa-apa paerkara yang berbangkit serta membantu negara dapat dipulihkan dalam tempoh segera,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa MPN turut menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk meneliti, merancang, dan mencadangkan langkah-langkah bagi membuka sempadan negara.
Perkara itu katanya adalah untuk melancarkan usaha PPN 2.0 bagi memulihkan semula industri pelancongan yang disifatkan penting apabila menyumbang RM80 bilion hasil negara hanya daripada pelancong luar negara.
“Ini cadangan kita supaya satu jawatankuasa dibentuk antara kementerian itu bagi mencadangkan bila, dan bagaimana caranya sempadan negara dibuka secara berperingkat.
“MPN berpandangan bahawa kalau tiada satu perancangan yang jelas, kita bimbang ia akan memberi kesan kepada cepat atau lambat proses pemulihan negara,” katanya.
Menurut beliau lagi, antara lain yang akan diberikan fokus secara menyeluruh di dalam PPN 2.0 adalah sektor sosial dan sosial ekonomi yang turut terjejas teruk akibat pandemik yang melanda.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.