[VIDEO] Dari Ipoh, Saiful buka pusat cuci kenderaan percuma bantu mangsa banjir

Tutup sementara operasi kedai di Perak, semata-mata mahu membantu cuci kenderaan di Selangor

0
756

SEORANG pemilik kedai mencuci kenderaan dari Perak menawarkan khidmat membersihkan kenderaan yang terjejas akibat banjir secara percuma di Masjid Bandar Bukit Raja, Klang, Selangor.

Saiful Bahari Azhar, 31, menawarkan khidmat percuma itu bertujuan meringankan beban mangsa banjir di kawasan Bandar Bukit Raja.

“Masa saya tengok Twitter, berkenaan banjir di Shah Alam, khususnya Selangor, kebanyakan mereka tak sangka yang mereka akan kena (banjir), terlalu banyak kenderaan yang terlibat banjir, jadi kita ambil inisiatif untuk turun dan bantu.

“Untuk kita ambil keuntungan itu sebenarnya orang kata sepatutnya ambil, tapi kita cuba ambil satu jalan bantuan yang kita tahu kos untuk buat satu cucian ini agak tinggi.

“Jadi kita mahukan mangsa-mangsa tak berkemampuan khususnya, kita dapat mengurangkan beban mereka. Jadi kita nak bantu mereka, memang niat nak bantu,” katanya ketika ditemui SatuBerita.

Saiful Bahari Azhar, 31

Kata Saiful yang menjalani misi bantuan itu bersama seorang rakannya, Syarul Nizam, 39, kos bagi mencuci kereta-kereta mangsa banjir itu dibantu oleh ahli keluarga, rakan-rakannya dan penduduk setempat yang memberi sumbangan kepadanya.

Hanya menggunakan tenaga kerja berdua, Saiful dan Syarul berjaya mencuci sebanyak 20 buah kereta mangsa banjir selama 13 hari menjalani misi bantuan tersebut.

“Saya sudah beroperasi selama 13 hari. Pada peringkat awal, kami gunakan dana sendiri. Apabila kerja mencuci sudah bermula, ada kawan rapat hulurkan sedikit sumbangan wang.

“Saya turun di sini dua orang. Setakat ini kita dah buat 20 buah kenderaan, masih dalam senarai menunggu ada dalam 4 buah kereta untuk minggu ini,” kata Saiful yang akan meneruskan misi itu sepanjang Januari.

Dalam pada itu katanya, dana yang diterima digunakan sepenuhnya bagi membeli barangan operasi seperti khemah dan lebihan dana akan disalurkan ke tempat yang lain.

“Kita bekerjasama dengan Masjid Bandar Bukit Raja untuk membuat hebahan kepada penduduk yang terjejas.

“Sepenuhnya dana yang saya terima, saya gunakan untuk pembelian barang operasi, contohnya khemah yang saya beli untuk operasi, dan khemah ini kita akan wakaf kepada masjid. Baki dana itu kami akan salurkan ke tempat yang lain,” katanya.

Tambah Saiful, pihak Masjid Bandar Bukit Raja turut memberi kerjasama dalam menyediakan tempat yang selamat untuk menjalankan kerja-kerja mencuci kereta.

Katanya lagi, pihak Masjid turut membantu dalam memilih kereta yang bersesuaian untuk dicuci dan akan dihantar ke lokasi operasi Saiful dengan menggunakan trak tunda atau dipandu mangsa sendiri.

Sementara itu katanya, kesulitan timbul apabila sesetengah individu datang ke tempat operasinya hanya untuk mengambil kesempatan atas khidmat percuma yang diberi Saiful.

“Kesulitan dari segi kerja tiada masalah, kesulitan sikit untuk bagi kepercayaan kepada mangsa, mereka bila tahu kita dari luar, buat program percuma ada sedikit keraguan pada mereka.

“Ada juga yang risaukan keselamatan kenderaan mereka. Itu antara perkara yang kita kena perbetulkan, bahawa niat kami memang nak membantu,” ujarnya.

Pertolongan pihak masjid dalam memilih kenderaan dan mangsa yang bersesuaian amat membantu Saiful bagi mengelak kesesakan dan individu yang berniat untuk mengambil kesempatan.

Antara barangan yang digunakan Saiful bagi mencuci kereta mangsa banjir adalah waterjet, mesin extractor, drill brush, chemical dan berus-berus detailing yang dibawa dari kedai mencuci keretanya, Megason Auto Spa Detailing yang terletak di Simpang Pulai, Ipoh, Perak.

Zakwan Zaki, 26

Salah seorang mangsa banjir yang menghantar kenderaan kepada Saiful bagi proses cucian, Zakwan Zaki, 26, yang berpuas hati dengan cucian dan menghargai usaha murni Saiful.

“Saya berpuas hati, saya bersyukur kerana pergi ke kedai luar saya tak mampu. Saya hantar Sabtu, siap pada Ahad. Terkejut juga sebab laju,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here