PAKAR berkaitan kewangan menyifatkan pengeluaran i-Citra RM10,000 wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada mereka yang terjejas ekoran bencana banjir baru-baru ini bukan satu jalan penyelesaian yang baik untuk mangsa.
Naib Pengerusi Gerakan Keadilan Monetari Malaysia, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, perkara itu akan menyebabkan pencarum bakal menghadapi situasi sukar pada hari tua kerana simpanan persaraan yang semakin berkurangan.
“Purata umur rakyat Malaysia adalah 75 tahun dan sekiranya mereka bersara pada umur 55 tahun, mereka akan mempunyai 20 tahun lagi untuk hidup sebagai pesara.
“Dalam 20 tahun itu memerlukan RM1,000 untuk keperluan bulanan, maka simpanan mereka kena ada RM240,000. Tapi apa yang berlaku sekarang, secara purata, pencarum KWSP hanya mampu RM42 sahaja sebulan berdasarakan purata simpanan pencarum sekarang,” katanya seperti yang dilaporkan Bernama.
Beliau menambah, tidak semua pencarum dapat menikmati manfaat sekiranya diberikan kebenaran untuk mengeluarkan dana RM 10,000 memandangkan sekurang-kurangnya 6.1 juta pencarum KWSP mempunyai simpanan kurang daripada RM 10,000 ketika ini.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Kewangan di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Adilah Azhari berkata, pengeluaran wang simpanan untuk hari tua itu tidak boleh dijadikan sebagai satu kebiasaan untuk dikeluarkan setiap kali dilanda bencana.
Katanya, rakyat melihat bencana banjir ini sebagai peluang untuk mengeluarkan wang simpanan KWSP dan ia akan berterusan sekiranya menjadi kebiasaan sehingga simpanan rakyat berkurangan pada masa depan.
“Kalau biasa gunakan peluang untuk keluarkan KWSP itu, nanti umur sudah 60 tahun nak guna bantuan daripada mana lagi kalau sudah tidak ada simpanan dalam KWSP untuk pengeluaran jika sentiasa guna ketika kecemasan.
“Kita faham orang yang terlibat (banjir), nak (guna) duit untuk teruskan kelangsungan hidup, jadi kalau nak jadikan KWSP satu-satunya punca untuk meneruskan kelangsungan, jika (individu) ada RM1,000 (dalam KWSP) nak bagi RM500? Jumlah itu mungkin boleh beli makanan untuk sebulan kemudian bulan seterusnya kita masih perlukan (duit),” katanya.
Isu pengeluaran khas i-Citra RM10,000 secara sekali keluar itu kembali hangat diperkatakan apabila terdapat beberapa pihak mendesak kerajaan mempertimbangkan pengeluaran itu untuk meringankan beban mereka yang terjejas dalam musibah banjir.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata kerajaan tidak berhasrat meluluskan pengeluaran i-Citra KWSP bagi kali kedua berikutan kerajaan memperuntukkan pelbagai bantuan termasuk kewangan untuk membantu mangsa banjir di seluruh negara.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.