Rakyat Malaysia di Kazakhstan selamat

0
474

SEEAMAI 50 rakyat Malaysia di Kazakhstan, yang sedang bergolak ekoran tunjuk perasaan membantah kenaikan harga bahan api, dilaporkan selamat, kata Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata Wisma Putra sedang memantau perkembangan di negara itu dan rakyat Malaysia diminta berhubung dengan pihak kedutaan untuk mendapatkan sebarang maklumat lanjut.

“Kenyataan rasmi yang lebih terperinci tentang Kazakhstan akan dikeluarkan esok,” katanya ketika ditanya mengenai status rakyat Malaysia di negara itu pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Indera Mahkota hari ini.

Media melaporkan pergolakan berlaku di Kazakhstan selepas ribuan rakyat negara itu mengadakan tunjuk perasaan membantah kenaikan harga bahan api.

Menurut laporan, Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev telah mengisytiharkan darurat pada Rabu selepas tunjuk perasaan itu merebak ke seluruh negara.

Sementara itu, Saifuddin mengumumkan pelantikan ahli perniagaan Datuk Randy Yap Kim Heng sebagai Penasihat Khas beliau mengenai Asia Timur dan Pengurus Besar Yayasan Felda Datuk Mohd Banuri Aris sebagai Perunding Hal Ehwal Kebajikan Antarabangsa di Kementerian Luar.

Beliau berkata Yap, yang juga Naib Presiden Parti Gerakan, dan Mohd Banuri telah memulakan tugas mereka sejak November lepas.

“Saya percaya untuk melaksanakan sesuatu yang baik, kita mesti ada kerjasama melibatkan kerajaan, swasta dan masyarakat sivil, sebab itu saya lantik sebilangan individu bukan daripada sektor kerajaan sebagai penasihat kerana kita perlu input dari sektor lain.

“Mereka ini ada pengalaman dan kepakaran masing-masing di peringkat antarabangsa… kedua-dua individu ini juga tidak mendapat sebarang gaji, elaun atau apa-apa imbuhan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata kira-kira 3,400 mangsa banjir di kawasan itu telah diberikan bantuan sewajarnya termasuk makanan siap masak, makanan ringan dan barangan elektrik selain peruntukan membaiki kerosakan atap serta siling sekolah rosak akibat ribut.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here