Pemimpin UMNO perlu bersikap terbuka, hapuskan ‘warlord’

0
238

PEMIMPIN UMNO perlu bersikap terbuka dan menghapuskan sikap ‘warlord’ kerana ramai orang Melayu masih menyokong sekiranya pemimpin parti berkenaan ikhlas menunjukkan perubahan.

Ini kerana UMNO kini dianggap bukan lagi dikuasai oleh akar umbi sebaliknya pemimpin-pemimpin yang mengamalkan politik wang.

Selain itu, pemimpin UMNO juga harus menghentikan sikap ‘kita lebih tahu’ kerana keputusan PRU-14 telah memberi isyarat jelas bahawa ‘rakyat lebih tahu’.

Teguran itu hadir daripada Veteran UMNO, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

MOHD. YUSSOF

Sehubungan itu, Mohd. Yussof mencadangkan supaya UMNO menganjurkan satu kongres khas dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu.

Menurut Mohd. Yussof, pemimpin UMNO perlu bersikap terbuka dengan menganjurkan kongres tersebut supaya dapat mendengar sendiri suara hati NGO yang mewakili orang Melayu.

“UMNO juga perlu menerima cadangan, pandangan, teguran dan kritikan daripada orang Melayu secara keseluruhannya.

“Jika UMNO mahukan sokongan padu orang Melayu, UMNO harus bersikap terbuka dan pemimpinnya harus berjiwa besar untuk menerima teguran, kritikan dan pandangan dalam kongres itu demi kepentingan agama, bangsa dan negara serta kemakmuran, kesejahteraan dan kebahagiaan seluruh rakyat,” katanya.

Sebagai orang lama yang bersama-sama dengan UMNO sejak tahun 1946, Mohd. Yussof menegaskan parti itu mula tergelincir daripada landasan perjuangan asal sejak tahun 1988 dengan UMNO telah direlakan untuk diharamkan di mahkamah.

Kata beliau, imej UMNO kemudiannya menjadi bertambah buruk apabila beberapa pemimpin pula terpalit dengan isu penyelewengan dan rasuah.

“Disebabkan itu, saya percaya UMNO kini memerlukan suntikan semangat perjuangan asal penubuhannya pada tahun 1946 supaya boleh muncul kembali sebagai juara dalam perjuangan kepada agama, bangsa dan negara.

“Saya mencadangkan UMNO wajar berusaha menganjurkan semula kongres khas dengan semua NGO-NGO Melayu sebagai usaha menyediakan platform untuk berinteraksi dengan masyarakat Melayu secara keseluruhannya dengan hasrat memperbaiki segala kelemahan yang sedang dihadapi.

“Andainya, UMNO mahu kembali mentadbir negara bersama Barisan Nasional (BN), pemimpinnya harus membuktikan sikap keterbukaan, berintegriti, jujur dan amanah dengan tidak lagi pentingkan diri untuk mengaut kekayaan peribadi,” jelas beliau. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here