INSIDEN kebakaran sistem jana kuasa telah menyebabkan hampir 300,000 pengguna perkhidmatan unifi TV mengalami gangguan malam Isnin.
Telekom Malaysia Berhad (TM) dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini memaklumkan, kebakaran itu telah memberi kesan kepada perkakasan bekalan kuasa tidak terganggu (UPS) yang berada di Kompleks TM teknologi maklumat (IT) di Cyberjaya.
Menurut TM, Jabatan Bomba dan Penyelamat telah berjaya mengawal keadaan untuk memadamkan kebakaran dan memastikan keselamatan premis.
TM memaklumkan, telah menerima penilaian bangunan serta mendapat kelulusan yang berkaitan daripada pihak bomba pada pukul 4 pagi.
“Blok bangunan yang terlibat tidak beroperasi sepenuhnya pada waktu kejadian dan hanya sebilangan kecil anggota yang berada di lokasi tersebut.
“Setakat ini, punca kebakaran masih lagi belum diketahui dan TM akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam sebarang siasatan seperti mana diperlukan pihak berkuasa.
“Satu pengumuman segera telah dikeluarkan di saluran media sosial TM untuk makluman kepada pelanggan kami yang terjejas dan kami telah menggiatkan penglibatkan perkhidmatan pelanggan untuk menjawab panggilan serta melayani sebarang pertanyaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Keputusan model borong 5G diputuskan sebelum Januari – Annuar
Mengulas lanjut, TM memaklumkan perkhidmatan unifi TV dijangka kembali pulih mulai pukul 3 petang ini.
Katanya, TM sedang giat memastikan perkhidmatan itu dibaik pulih segera.
“Kami sedang giat berusaha bersama dengan pasukan kontraktor dan jurutera bagi memastikan perkhidmatan-perkhidmatan tersebut dibaik pulih semula dan sambungan tenaga kuasa dijangka siap sepenuhnya pada pukul 12 tengah hari ini.
“Walau bagaimanapun, TMpoint Cyberjaya akan ditutup buat sementara waktu disebabkan bekalan kuasa yang rendah.
“Kami memohon maaf di atas segala kesulitan yang dihadapi pelanggan dan akan terus memastikan keselamatan serta kesejahteraan anggota dan kontraktor diutamakan sepanjang proses baik pulih ini,” jelasnya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.